Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saat penentuan bagi Sarawak
Diterbitkan:  Apr 15, 2011 6:12 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Saat yang ditunggu-tunggu rakyat Sarawak akhirnya menjelang tiba apabila esok mereka akan membuat penentuan selepas disogokkan dengan kempen paling panas dalam perebutan ke atas 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

NONE Keyakinan di pihak BN semakin meningkat pada beberapa hari terakhir kempen dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melawat ke serata pelusuk negeri, melawat rumah-rumah panjang dan bandar-bandar kecil, untuk menjelaskan mengenai pelan transformasi kerajaan untuk membawa lebih banyak pembangunan ke Sarawak dan seluruh negara.

Mengakhiri lawatannya ke kawasan penempatan masyarakat Iban di pekan Kapit dan Song di Hulu Rajang hari ini, Najib menyampaikan amanat terakhir kepada rakyat Sarawak sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

"Jangan undi ikut sentimen. Persoalan yang harus difikirkan oleh pengundi Sarawak ialah kerjasama antara pusat dan negeri untuk masa depan yang lebih terjamin (memandangkan) Sarawak adalah sebuah negeri yang besar dan luas dan perlu banyak pelaburan terutama dari segi prasarana yang maju dan moden," katanya.

NONE Najib, yang juga Pengerusi BN, telah muncul sebagai tunggak kempen BN selepas pembangkang melancarkan "serangan" bertalu-talu terhadap tempoh lama Tan Sri Abdul Taib Mahmud memegang jawatan sebagai Ketua Menteri. Dibantu oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalannya dalam kabinet dan BN, Najib yakin rakyat Sarawak akan memastikan BN menang dengan majoriti dua pertiga.

BN jangka menang besar

BN mensasarkan kemenangan besar dan yakin akan dapat memperoleh majoriti dua pertiga dan meranapkan cita-cita pembangkang untuk mengambil alih negeri ini.

NONE Pada pilihan raya negeri kali ini, BN bertanding di semua 71 kerusi DUN dengan calon-calon daripada parti komponen BN negeri yang diterajui Taib iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (Supp), Parti Rakyat Sarawak (PRK) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Pada 2006, BN menguasai 62 kerusi pada hari pengundian dan kemudiannya, seorang wakil rakyat dari Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) menyertai komponen itu yang membolehkan BN menguasai 63 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri sebelum pembubarannya.

Tatkala BN meletakkan harapan pada Bumiputera untuk memastikan kejayaannya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya kali ini, persoalan paling getir ialah mengenai survival Supp sebagai wakil masyarakat Cina di Kuching.

NONE Supp berdepan cabaran getir dengan ditentang DAP di kerusi majoriti Cina di kawasan bandar dan turut menjadi taruhan ialah kerusi DUN Piasau di Miri yang akan dipertahankan Presiden Supp, Tan Sri Dr George Chan.

Pada 2006, pembangkang menawan lapan kerusi dengan enam daripadanya dimenangi DAP yang sebelum itu dikuasai Supp.

DAP adalah anggota pakatan pembangkang yang berpangkalan di Semenanjung yang terbabit dalam pertandingan dengan BN.

DAP bertanding di 15 kerusi majoriti Cina dan campuran Cina-Iban. Dua lagi anggota pakatan pembangkang ialah PKR yang bertanding di 49 kerusi majoriti Melayu/Melanau dan Dayak, dan PAS di lima kawasan Melayu.

Calon Bebas popular

snap anthony belon campaign Turut bertanding ialah Snap di 26 kerusi majoriti Dayak, Parti Cinta Malaysia (PCM) di enam kawasan Bumiputera dan 41 calon Bebas.

Kumpulan itu termasuk 15 calon daripada parti yang masih belum berdaftar, Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB) yang akan menggunakan simbol kapal terbang dan sembilan anggota PKR yang telah dipecat daripada parti selepas memilih untuk bertanding atas tiket Bebas.

Dua calon Bebas yang popular ialah Datuk Salleh Jafaruddin, dua pupu Taib, yang akan mencabar Ketua Menteri itu dalam pertandingan tiga penjuru di DUN Balingian, dan peguam Dominique Ng ( bawah , kiri ), yang akan mempertahankan kerusi DUN Padungan di Kuching selepas beliau diketepikan oleh PKR walaupun merupakan satu-satunya calon PKR yang menang pada 2006.

NONE Pilihan raya kali ini juga menyaksikan peningkatan jumlah pengundi dengan 1,748 pusat mengundi dibuka di seluruh negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan peratusan pengundian antara 65 hingga 75 peratus daripada 979,796 pemilih berdaftar. Peratusan pengundian pada 2006 ialah 63.2 peratus.

Polis juga menasihatkan pengundi supaya keluar awal untuk mengundi berikutan hujan diramalkan pada sebelah tengah hari dan petang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS