Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

DAP Melaka mencadangkan supaya hubungan udara membabitkan negeri tersebut dan Pulau Pinang diperkenalkan supaya segala kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam dapat digunakan.

Menurut ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong, usaha itu mampu menguntungkan Melaka dan LTAM memandangkan kedua-dua negeri berkongsi pengiktirafan sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik Dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Jelasnya, selain dapat mempromosikan sektor pelancongan di negeri ini, langkah itu juga dapat mengelakkan LTAM daripada terus menjadi gajah putih.

Katanya, antara pakej pelancongan yang boleh diperkenalkan misalnya, adalah pelancong yang berkunjung ke Melaka turut boleh dibawa dengan udara ke Pulau Pinang atau sebaliknya.

"Mungkin ada pelancong yang datang ke Melaka ingin juga ke Pulau Pinang dan begitu juga sebaliknya. Justeru, Sekiranya mereka menggunakan jalan raya, ia akan mengambil lebih tujuh jam sedangkan dengan penerbangan ianya hanya kira-kira 40 minit.

"Sekurang-kurangnya ini akan dapat meningkatkan penggunaan LTAM, sekali gus mengelak ia daripada terus menjadi gajah putih.

"Perbezaan fahaman politik antara kedua negeri perlu diketepikan kerana ini membabitkan kepentingan rakyat. Lebih baik LTAM ini digunakan dalam cara ini daripada langsung tidak digunakan," katanya selepas meninjau keadaan di LTAM di Batu Berendam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, baru-baru ini yang mendakwa LTAM kurang mendapat sambutan disebabkan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) dikatakan gagal menarik syarikat-syarikat penerbangan beroperasi di situ.

Pada masa sama, Khoo turut mempertikaikan kenyataan Mohd Ali sebelum ini yang menyatakan bahawa syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, akan beroperasi di LTAM, selain bermulanya penerbangan dari China.

Menurutnya, selain itu, Mohd Ali juga sering mengatakan bahawa LTAM merupakan lapangan terbang tersibuk di Malaysia kerana selalu digunakan pesawat latihan dari Akademi Penerbangan Malaysia yang berpengkalan di sini.

"Sekiranya betul LTAM merupakan lapangan terbang tersibuk di Malaysia sebagaimana yang beliau sering nyatakan, termasuk semasa kempen pilihan raya kecil Merlimau, saya cabar beliau panggil wakil Malaysia Book of Records.

"Kerajaan negeri perlu lebih agresif menangani masalah LTAM ini. Kalau tidak, saya rasa elok kawasan ini digunakan untuk bermain layang-layang saja," katanya.

ADS