Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bimbang dengan reaksi negatif para perwakilan dalam pemilihan PAS, seorang bakal calon timbalan presiden Mohamad Sabu bertindak menangguhkan satu majlis pelancaran akaun Facebook bagi satu kelab penyokongnya.

Mohamad Sabu berkata, beliau bertindak demikian bagi "mengelakkan salah faham" dan juga "mengekang budaya yang dilihat tidak sihat atau tidak boleh diterima oleh ahli PAS."

NONE "Saya berhasrat supaya program besar ini ditangguhkan sebab boleh dianggap sebagai bahan kempen kepada saya menjelang muktamar akan datang.

"Sebagai parti Islam, kempen berlebihan akan dilihat negatif kepada parti dan jemaah," katanya ketika bercakap dalam satu sidang media hari ini.

Tarikh baru bagi program yang dijadualkan pada 6 Mei di Dewan Perhimpunan Cina Wilayah Persekutuan/ Selangor itu akan diputuskan selepas muktamar diadakan pada Jun, katanya.

Dalam pada itu, Mohamad turut menjelaskan bahawa beliau berniat untuk bertanding kali ini bagi membolehkan PAS menerima sokongan lebih luas dan bukan terhad kepada anggota parti sahaja.

Raih sokongan lebih luas

"(PAS) tidak akan kuat dan berjaya jika dapat sokongan daripada ahli semata-mata. Dia mesti dapat sokongan orang Islam luar PAS, orang bukan Islam, badan NGO dan sebagainya.

"Saya nampak saya boleh sedikit memberi khidmat dalam membantu presiden dalam hal yang saya sebut itu," katanya yang lebih dikenali dengan nama Mat Sabu.

NONE Ketika ditanya, Mohamad menafikan bahawa PAS selama ini lemah dalam meraih sokongan daripada golongan luar daripada parti.

"Tidak ada kelemahan cuma perlu dipertingkatkan sebab politik tahalluf atau pakatan ini masih macam agak baru kepada (PAS).

"Walaupun kita telah buat pakatan dengan Semangat 46 sebelum ini, tapi dengan (parti) berbagai kaum ini agak baru, oleh itu kita perlu kembangkan lagi.

"(Sebab) itu saya cuba beri khidmat. Kebetulan pergaulan saya dengan rakan-rakan ituagak luas terutama dengan orang-orang bukan Islam," katanya.

Ditanya lanjut, Mohamad berkata beliau tidak mengetahui berapakah jumlah pencalonan sebenar yang diterimanya setakat ini.

"Ada yang kata 20 pencalonan, ada yang kata lebih 50. Saya tak tahu.

"Setakat sekarang saya tidak mengambil keputusan untuk bertanding lagi. Hanya melihat perkembangan sehinggalah kepada 15 Mei akan datang, melihat jumlah pencalonan dan sokongan daripada kawan-kawan, itu yang kita perlu lihat," katanya lagi.

ADS