Kemala Sasterawan Negara ke-11

Penyair, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah yang dikenali dengan nama penanya, Kemala, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-11, yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkannya berkata anugerah itu diberikan kepada tokoh sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata Sasterawan Negara itu akan menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan dengan luas ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

"Sekretariat Anugerah Sastera Negara telah menerima sebanyak 14 pencalonan iaitu lima pencalonan baru sehingga tarikh tutup pencalonan pada 31 Mei tahun lalu.

"Sembilan calon daripada pencalonan terdahulu juga telah dipertimbangkan oleh panel penilai. Panel Penilai Anugerah Sastera Negara Ke-11 dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan telah bermesyuarat sebanyak tiga kali," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat akhir Anugerah Sastera Negara Ke-11, di Kementerian Pelajaran di Putrajaya.

Muhyiddin berkata tokoh yang dilahirkan di Gombak, Selangor itu mempunyai latar belakang kegiatan sastera yang luas, mula menulis sejak di bangku sekolah rendah lagi dan kini merupakan Sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia.

Katanya Kemala telah menghasilkan 11 buah buku kumpulan puisi, 25 buah antologi puisi, 10 buku kajian sastera, empat buku kumpulan cerpen, lapan buah antologi cerpen, empat buah drama, tiga buku cerita kanak-kanak dan lebih 50 esei dan kritikan sastera.

"Karya-karya tokoh ini bermutu tinggi, dalam daya renungnya, tinggi daya cipta dan daya rekanya serta mempunyai nilai estetika yang mengagumkan.

"Karya-karyanya terutama puisi bukan sahaja diminati dan menjadi ikutan kepada generasi baru malah diminati sama oleh sarjana dalam dan luar negara," katanya.

Muhyiddin berkata karya-karya Kemala terutama puisi telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa asing seperti bahasa Cina, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian.
   
Muhyiddin berkata tokoh itu mendapat banyak anugerah dan penghargaan dari dalam dan luar negara antaranya Anugerah S.E.A Write Awards (1986) daripada kerajaan Thailand, Anugerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (2002) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
"Tokoh ini telah mengasaskan Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (1993) dan tradisi baca puisi di Malaysia yang dimulakan dengan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (1986).

"Gaya, sebutan dan rentak suara pembacaannya menjadi ikon dan ikutan generasi muda. Tokoh ini juga aktif membentangkan kertas kerja di dalam dan luar negara," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.