Ketua PKR Sarawak Baru Bian berkata parti itu kini akan hanya memfokus kepada beberapa kerusi yang mampu dimenangi pada pilihan raya parlimen akan datang dan tidak lagi di kerusi-kerusi yang enggan ditandingi oleh anggota Pakatan yang lain.
Beliau mengulas bidasan daripada pelbagai pihak bahawa PKR ‘terlalu tamak’ dengan bertanding sehingga 49 kerusi dewan undangan negeri Sarawak baru-baru ini dan hanya memenangi tiga kerusi.
"Pada pilihan raya parlimen (akan datang), kami akan menggunakan kaedah berbeza,” kata Baru dalam satu wawancara dengan media terpilih di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, pagi ini.
"Kerana keterbatasan dalam sumber, khususnya kewangan, kita akan fokus kepada kawasan tertentu (yang mempunyai peluang menang) berdasarkan keputusan pilihan raya negeri.”
Baru berkata PKR Sarawak telah mengenalpasti 10 kerusi parlimen yang parti itu mempunyai harapan dan akan fokus terhadap kerusi-kerusi berkenaan.
Beliau juga berharap PAS dan DAP akan ‘berkongsi tanggungjawab’ bertanding di kerusi-kerusi lain’.
"Jika mereka bersedia untuk dilihat sebagai parti pelbagai bangsa - awak semua ketahui banyak laporan yang mendakwa DAP adalah parti cauvinis Cina - ini masa terbaik (untuk mereka) bertanding di kawasan Dayak dan Melanau."
Jika tidak ada parti gabungan Pakatan sanggup menerima cabaran itu, Baru berkata PKR Sarawak berharap ada calon Bebas yang akan bertanding agar BN tidak mendapat kemenangan percuma.
[Baca berita penuh]
