Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Mustahil e-mel 1Malaysia boleh dipantau'
Diterbitkan:  May 4, 2011 11:20 AM
Dikemaskini: 4:19 AM

Kecurigaan kononnya melalui 'myemail.my', kerajaan akan memantau setiap komunikasi rakyat, didapati tidak berasas.    

Malah, kata seorang jurutera perisian, Mohamad Shuhaimi Yusoff, pemantauan itu mustahil dilakukan kerana ia melibatkan jutaan mel elektronik sekiranya hanya separuh daripada 27 juta rakyat Malaysia membuka akaun percuma di myemail.my.

"Saya membaca laporan akhbar mengenai bermacam ragam pandangan dan reaksi serta melihat juga perbincangan mengenai myemail di internet. Namun saya  dapati banyak kecurigaan yang dilontarkan adalah tidak berasas," katanya kepada Bernama.

Lagipun, katanya, kenapalah kerajaan mahu atau harus memantau komunikasi rakyat melalui myemail.my sedangkan terdapat puluhan mel elektronik lain yang dipakai rakyat Malaysia sekarang, dan hampir mustahil untuk memantau semuanya sekalipun dengan menggunakan kata kunci tertentu.

Shuhaimi percaya usaha kerajaan memperkenalkan myemail.my itu perlu diberi penjelasan secara meluas dan berterusan bagi meningkatkan kefahaman rakyat mengenai tujuannya untuk menggerakkan rakyat mendekati kerajaan elektronik dan penyampaian yang selamat maklumat peribadi melalui myemail masing-masing.

Myemail.my, yang disediakan oleh Tricubes Berhad, menawarkan penyertaan secara sukarela untuk warganegara berusia 18 ke atas yang membolehkan komunikasi secara langsung dan selamat dengan pelbagai perkhidmatan e-Kerajaan termasuk taksiran cukai pendapatan, notis saman, pembaharuan cukai jalan dan bil cukai tanah.

Tricubes Berhad, menyediakan pelaburan RM50 juta dalam masa 10 tahun untuk pembangunan laman portal, pusat sehenti bagi perkhidmatan kerajaan, penyediaan khidmat tambah nilai seperti rangkaian sosial, semakan bil dalam talian dan pembayaran.

Ketua Eksekutif Tricubes Berhad Khairun Zainal Mokhtar berkata myemail.my bertujuan membolehkan warganegara berusia 18 tahun ke atas mendapat akses ke saluran komunikasi yang selamat secara online dengan kerajaan melalui penggunaan ID pengguna tunggal.   

Selain kemudahan komunikasi yang selamat, analisis Tricubes juga menunjukkan dalam 10 tahun akan datang, rakyat dapat membantu menyelamatkan alam sekitar dariapda pencemaran apabila menjimatkan 8.5 juta helaian menyamai 4,250 tan kertas atau 102,000 batang pokok -- menyamai 188 kali ketinggian Menara Kembar Petronas.

Kepada soalan kenapa hanya sebuah syarikat dipilih untuk menyediakan perkhidmatan mel elektronik ini, beliau berkata beberapa cadangan dikaji oleh kerajaan termasuk berdasarkan amalan teknologi terbaik dan pengalaman syarikat.

"Pertimbangan utamanya ialah jaminan keselamatan, kerahsiaan dan kesahihan maklumat peribadi pengguna. Dalam hal ini Tricubes Berhad didapati memenuhi kriteria penanda aras itu," kata Khairun, sambil menjelaskan bahawa kesahihan itu berdasarkan maklumat dalam MyKad.

Penganalisis teknologi maklumat, Azli Paat, pula berkata isu myemail.my menjadi kontroversi apabila masyarakat tidak faham apa sebenarnya peranan e-mel yang diwujudkan itu dan faedah-faedah yang bakal mereka peroleh.

"Fungsinya bukan seperti e-mel biasa dan tidak boleh dibandingkan dengan e-mel biasa," kata Azli, yang juga Pengarah Adavista Sdn Bhd, sebuah syarikat konsultan teknologi maklumat.

Beliau berkata myemail.my bukan seperti e-mel biasa yang dapat didaftar dengan enjin carian seperti Google, Yahoo dan Hotmail, tetapi satu cara khusus rakyat dan kerajaan dapat berinteraksi menerusi satu e-mel yang disahkan dimiliki oleh rakyat itu sendiri tanpa membabitkan maklumat peribadi sembarangan.

Katanya ini kerana maklumat dalam MyKad milik warganegara akan dirujuk sekiranya pihak berkuasa mahu menghubungi mereka untuk hal-hal penting dan berdasarkan MyKad satu-satu pengesahan identiti dapat dipastikan benar dan maklumat yang dikirim melalui e-mel itu tidak sampai ke pihak lain.

"Myemail.my adalah identiti sahih dalam perhubungan di alam siber dengan kerajaan. Kalau kita menggunakan e-mel yang disediakan dalam enjin carian, adakah kerajaan pasti e-mel itu benar atau palsu atau mempunyai identiti yang betul dan bukan milik orang lain? Bagaimanakah kerajaan dapat memastikannya tulen?

"Kalau myemail.my digunakan ia tentunya pasti dan sahih kerana ia berdasarkan maklumat di Pejabat Pendaftaran Negara dan sistem biometrik menggunakan MyKad yang disediakan oleh Tricubes," kata Azli.

Menyentuh kemungkinan komunikasi melalui mel elektronik itu dipantau oleh kerajaan, belaiu berkata isu komunikasi peribadi mereka bocor tidak timbul kerana untuk sebarang tujuan lain, masyarakat tidak perlu menggunakan myemail.my sebaliknya boleh terus menggunakan e-mel yang mereka biasa pakai.

Azli berkata kebanyakan penulis komen yang membidas projek myemail.my di akhbar, blog, portal dan rangkaian sosial seperti facebook, tidak berapa faham isu itu dan berpendapat penerima e-mel perlu membayar untuk mendapatkannya dan hanya untuk membantu syarikat kroni.

Pengurus Projek Vitaldelta Sdn Bhd, Syahrul Izwan Abdul Wahab, berkata dengan akaun myemail.my, masalah kealpaan rakyat memaklumkan pihak berkuasa mengenai pertukaran alamat mereka dapat diatasi untuk mengelak pelbagai kerumitan, yang akhirnya membebankan rakyat sendiri.

"Kealpaan ini menyukarkan mereka untuk dihubungi oleh kerajaan. Jadi timbullah masalah saman tak sampai, notis mahkamah tak sampai, bil-bil tertunggak dan sebagainya. Inisiatif myemail.my memang bagus untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Vitadelta ialah sebuah syarikat konsultan teknologi maklumat dengan pengkhususan di bidang integrasi sistem, perunding, penyenggaraan dan pembangunan.

Syahrul Izwan berkata inisiatif itu dibiayai swasta sepenuhnya dan kerajaan hanya berperanan sebagai pemudahcara bagi projek itu yang menyumbang kepada Program Tansformasi Kerajaan (GTP) untuk menjadi lebih telus dan mudah diakses oleh rakyat.

"Untuk kejayaan, projek ini perlu memastikan ia sampai kepada semua lapisan rakyat baik di bandar mahupun di desa dan jika perlu berilah latihan menyeluruh kepada masyarakat untuk menggunakan myemail.my " katanya.

--Bernama

ADS