Najib berbasikal membeli nasi lemak

Hafiz Yatim        

Datuk Seri Najib Abdul Razak hari ini ke udara menerusi stesen radio Hot FM di Seri Pentas dan antara lain menceritakan pengalamannya semasa kanak-kanak dan juga kehidupannya sebagai perdana menteri.

NONE Antara pengalaman itu termasuk menunggang basikal untuk membeli makanan kegemarannya iaitu nasik lemak.

Katanya, beliau berbasikal dari rumahnya berdekatan Hospital Tanglin untuk membeli nasi lemak yang berharga antara 30 hingga 50 sen pada masa itu.

Ironinya perdana menteri tidak benar-benar menjawab soalan yang diajukan oleh dejay sama ada beliau pernah menggunakan pengangkutan awam.

Soalan itu timbul apabila Najib pada program temu bual selama sejam itu, juga diajukan soalan mengenai pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pengangkutan awam sejak dilancarkan tahun lalu.

Beliau berkata ia telah menampakkan peningkatan daripada segi kemudahan yang disediakan, dan perubahan lebih ketara hanya akan dapat dilihat dalam masa dua hingga tiga tahun lagi.

NONE Ketika itu, DJ berkenaan bertanyakan kepada perdana menteri sama ada beliiau pernah menggunakan pengangkutan awam sebelum ini.

Najib tidak menjawab secara langsung tetapi sebaliknya menceritakan pengalamanya menunggang basikal membeli nasi lemak.

"Ia agak jauh, kadang kala saya pergi bersendirian, kadang kala saya pergi dengan adik saya," katanya.

Program yang dihoskan juruhebah (DJ) Fara Fauzana, Faizal Ismail dan Kieran itu turut disiar secara langsung menerusi stesen televisyen 8TV.

[Baca berita penuh]

Manchester United

Sementara itu, Bernama melaporkan ketika menjawab soalan seorang pemanggil mengenai penggunaan media baru, Najib berkata ia amat bersesuaian dengan persekitaran baru masa kini khasnya bagi berhubung dengan golongan muda.

"Saya ambil keputusan selain menggunakan cara konvensional, saya juga menggunakan kaedah new media kerana dengan kaedah ini saya dapat menyampaikan mesej saya kepada mereka yang menggunakan new media sebagai saluran maklumat yang lebih cepat," katanya.

Selain mempunyai blog dan akaun Facebook, Najib juga menggunakan Twitter secara aktif dan mempunyai pengikut yang ramai.  

NONE Najib berkata kebiasaannya beliau akan mengemas kini status Twitter di sebelah malam di rumah ataupun semasa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Putrajaya setelah semua urusannya selesai.

Selain soalan berkaitan dasar negara, Perdana Menteri juga diajukan soalan santai termasuk ramalan beliau mengenai perlawanan akhir Piala Juara-Juara Eropah antara Barcelona dan Manchester United (MU).

Najib yang merupakan peminat MU berkata beliau mengharapkan kemenangan berpihak kepada pasukan kegemarannya biarpun  Barcelona mempunyai barisan pemain yang hebat.

Mengenai cara beliau mengurangkan stres , Najib berkata beliau  suka bersukan dan bersenam.

NONE "Sewaktu belajar, saya akan mengajak rakan-rakan bermain bola atau skuasy untuk mengurangkan stres. Sekarang saya pergi ke gim, melakukan senaman 'treadmill' dan 'cross trainer'," katanya.

Sepanjang temu bual tersebut, lagu-lagu kegemaran Perdana Menteri dimainkan antaranya 'Kancing Suasa' oleh R. Azmi, 'If Tomorrow Never Comes' oleh Ronan Keating, 'Kaulah Segalanya' oleh Ruth Sahayana, 'Perpisahan Ini' oleh Aizat dan 'Nobody' oleh Wonder Girls.

'Kancing Suasa'

Najib juga sempat mengulas bahawa beliau gemarkan lagu 'Kancing Suasa' kerana lagu itu mendekatkan beliau dengan masyarakat Orang Asli di kawasan Parlimen Pekan yang diwakilinya.

Ditanya mengenai rutin hariannya, Najib berkata beliau memulakan harinya dengan bangun untuk bersolat Subuh sebelum sesi membaca akhbar.

"Selepas itu saya akan mandi dan bersarapan dan pergi ke pejabat. Biasanya saya akan sampai di pejabat antara pukul 8 pagi hingga 8.30 pagi," kata beliau.

NONE Najib berkata beliau akan balik ke rumah selepas habis bekerja antara pukul 6.30 petang dan 7 malam.

Perdana Menteri juga mengambil kesempatan mengucapkan "Selamat Hari Ibu" yang disambut pada hari Ahad, minggu kedua Mei setiap tahun.

"Ibu memainkan peranan sangat, sangat besar. Ia satu hakikat yang kita mesti iktiraf. Kita mesti sayang dan cinta kepada ibu," katanya.

Najib turut menekankan kepentingan peranan golongan pendidik yang akan menyambut Hari Guru pada 16 Mei dalam mencorak masa depan negara menerusi didikan kepada anak-anak.

"Ini amat penting sebab apa-apa pun, kekuatan negara kita bergantung kepada kualiti insan. Dan ini mesti dilakukan dengan cara bersungguh-sungguh dan tersusun supaya mereka ini dapat mengisi segala aspirasi negara," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In