Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengebumian jenazah di laut satu penghinaan
Diterbitkan:  May 6, 2011 4:07 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Pengebumian jenazah pemimpin Al-Qaeda Osama bin Laden di laut dianggap sebagai satu penghinaan kepada umat Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata hal seperti itu tidak wajar berlaku dalam apa keadaan sekalipun kerana jenazah perlu dihormati.

NONE "Kita tahu pengurusan jenazah dalam Islam, ia perlu diuruskan dengan cara yang sewajarnya.

"Zaman (umat Islam menunaikan haji dengan menaiki) kapal dulu, betullah (jenazah dilepaskan) masuk dalam laut tetapi zaman hari ini, (dikebumikan) atas darat. Jadi, ini sebagai satu perkara yang merupakan satu penghinaan kepada umat Islam.

"Saya rasa demikian untuk pengebumian jenazah sebab kita perlu menghormati jenazah itu juga," katanya kepada pemberita di Sepang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jenazah Osama yang telah dikebumikan di utara Laut Arab dari atas geladak kapal pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat, selepas dimandikan dan dilaksanakan mengikut cara Islam.

Di Kuala Lumpur, Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badarudin berkata kematian Osama tidak mungkin membawa kepada kekacauan di rantau ini.

osama bin laden dead protest 1 Bagaimanapun, katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia untuk menghadapi cabaran jika berlaku perkara tidak diingini.

"Kita telah mengambil langkah berjaga-jaga daripada keselamatan," katanya hari ini.

Terdahulu Ahmad Kamarulzaman hadir pada majlis Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan pembubaran Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Kontinjen Malaysia 1 (MALCON ISAF 1) di Hospital ATM di Kuala Lumpur hari ini.

- Bernama

ADS