Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Snap akhirnya berpisah dari Pakatan Rakyat
Diterbitkan:  May 7, 2011 10:03 PM
Dikemaskini: 2:07 PM

Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) yang menjalin hubungan singkat dan renggang dengan Pakatan Rakyat Sarawak akhirnya berpisah selepas sekian lama bersabar dengan sikap dingin pakatan pembangkang negeri terutama ketika menghadapi pilihan raya Sarawak ke-10 baru-baru ini.

NONE Presiden parti Edwin Dundang berkata parti itu merasakan mereka tidak lagi diterima selepas setahun hubungan "cinta tetapi benci" dengan Pakatan Sarawak yang dianggotai DAP, PKR dan PAS.

"Bukan pilihan kami untuk meninggalkan mereka... bagaimanapun kami merasakan kami tidak lagi diterima dalam pakatan itu, terutama ketika pilihan raya negeri.

"Sehubungan itu, kami tidak akan berdamai dengan Pakatan Sarawak bermula dari sekarang," katanya di Kuching hari ini dan menambah parti itu merasakan yang mereka diketepikan oleh Pakatan Rakyat semasa pilihan raya negeri 16 April.

"Kami tidak pernah dijemput untuk menghadiri mesyuarat atau sebarang aktiviti bersama. Ini menunjukkan mereka tidak mahu kami lagi dan mahu meminggirkan kami," katanya dan memaklumkan kali terakhir Snap menghadiri mesyuarat Pakatan Sarawak pada Mac lalu berhubung pembahagian kerusi pilihan raya negeri.

NONE Mesyuarat itu menemui jalan buntu dan pada pilihan raya ke-13 menyaksikan di beberapa kerusi Snap bertanding menentang calon-calon Pakatan rakyat.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng enggan memberi komen berhubung keputusan Snap itu manakala Ketua PKR negeri Baru Bian tidak dapat dihubungi.

Pada April tahun lalu, parti kaum Dayak itu menyertai PR dan membentuk Pakatan Rakyat Sarawak. Bagaimanapun, sebelum pilihan raya negeri, Snap dan PKR berselisih faham berhubung pembahagian kerusi.

Ini menyaksikan Snap, PKR dan BN bertembung di 24 kawasan Dewan Undangan Negeri.

NONE Semua 26 calon parti itu kalah teruk terutama di kawasan luar bandar, dengan  parti itu pernah mendakwa merupakan kawasan kubu kuat mereka.

Kecuali Toh Heng San yang bertanding di kawasan Katibas, 25 lagi calon Snap termasuk presidennya hilang deposit dalam pilihan raya itu.

Snap ditubuhkan pada 10 April 1961 dan telah menganggotai komponen BN sehinggalah ia disingkirkan pada 2004. Parti itu bertanding pada pilihan raya umum 2004 dan pilihan raya negeri Sarawak 2006 sebagai parti pembangkang.

- Bernama

ADS