Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pejabat Majlis Bandaraya Alor Setar disita
Diterbitkan:  May 12, 2011 7:33 PM
Dikemaskini: 11:35 AM

Pejabat Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di Jalan Kolam Air di Alor Bandar disita dua jam hari ini setelah Mahkamah Tinggi mendapati ia gagal menjelaskan bayaran hampir RM750,000 kepada sebuah syarikat memasang alat penjimatan elektrik.

Perintah penyitaan dan penjualan dikeluarkan terhadap Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Khazali Din, kerana didapati gagal membuat bayaran berkenaan kepada Syarikat Veecan Management sejak September 2008.

Pejabat berkenaan disita pada 12.30 tengah hari dan dibuka semula pada 2.30 petang selepas MBAS membuat bayaran deposit kepada mahkamah dan memfailkan rayuan untuk mengetepikan perintah itu.

Khazali berkata MBAS membuat rayuan berkenaan kerana yakin tuntutan yang dibuat oleh Veecan Management tidak munasabah.

"Kami akan merayu sebab syarikat tersebut juga telah melanggar beberapa syarat yang telah ditetapkan dalam kontrak perjanjian.

"Apa yang berlaku pada hari ini adalah disebabkan ada sedikit masalah dengan peguam yang kami lantik, jadi kami buat rayuan untuk ketepikan perintah mahkamah ini," kata Khazali ketika dihubungi di Alor Setar hari ini.

Pengarah Urusan Syarikat Veecan Management, Datuk Ismail Said, berkata sebelum ini pihaknya telah berbincang dengan MBAS untuk membenarkan majlis itu membayar separuh daripada jumlah tuntutan itu, namun ia tidak dipersetujui.

"Jadi saya tiada pilihan lain selain daripada menyita pejabat MBAS seperti perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah hari ini," katanya.

Ismail berkata syarikatnya bertanggungjawab memasang alat penjimatan elektrik lampu jalan raya dalam kawasan bandar raya berkenaan bagi tempoh lima tahun bermula 2007.

Bagaimanapun beliau mendakwa MBAS gagal membuat bayaran bulanan sebanyak RM40,000 bermula September 2008.

- Bernama

ADS