Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan siasat 'babi mati dijadi makanan terproses'
Diterbitkan:  May 14, 2011 9:38 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan berhubung laporan sebuah televisyen tempatan berkaitan isu babi yang telah mati yang digunakan untuk menghasilkan makanan yang terproses.

Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd Othman, berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan sekiranya laporan itu berasas, pihak yang terlibat boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 13A Akta Makanan 1983.

sausage “Seksyen 13A memperuntukkan larangan penyediaan atau penjualan makanan yang mengandungi binatang atau sayuran yang berpenyakit, kotor, reput  atau bangar, apa-apa bahagian binatang yang tidak sesuai untuk dijadikan makanan dan hasil binatang yang sudah mati selain kerana disembelih atau sebagai binatang buruan.

“Mana-mana orang yang melanggar seksyen tersebut adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau penjara tidak melebihi lapan tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Noraini berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan perkara itu supaya menyalurkan maklumat itu menerusi laman web bahagian itu di http://fsq.moh.gov.my atau emel [email protected].

“Kami tidak akan berkompromi berkaitan isu keselamatan makanan dan berharap orang ramai tidak khuatir dengan makanan yang ada  di pasaran kerana Kementerian Kesihatan sentiasa memantau tahap keselamatan makanan yang dijual,” katanya.

Isu itu tercetus apabila NTV7 dalam Edisi Siasat Mandarin baru-baru ini mendakwa penternak babi di Tanjung Sepat, Selangor, menjual bangkai haiwan berkenaan untuk menghasilkan makanan seperti sosej, daging salai, dim sum dan pau.

ADS