Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan isu sensitif, Hisham cadang jumpa editor
Diterbitkan:  May 16, 2011 6:14 PM
Dikemaskini: 2:06 AM

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercadang mengadakan perjumpaan dengan semua ketua editor akhbar berhubung pelaporan isu sensitif.

    

Katanya beliau mahu memastikan ketua-ketua editor bersikap berhati-hati dalam melaporkan isu sensitif mengenai kaum dan agama dan memastikan mereka faham bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan bagi tindakan mereka.

    

NONE Mengulas laporan yang diterbitkan Utusan Malaysia baru-baru ini mendakwa ada pihak tertentu mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, Hishammuddin berkata:

    

"Ada masanya masyarakat Melayu kecewa dengan laporan di akhbar-akhbar Cina (mengenai isu sensitif) dan sebaliknya.

    

"Oleh yang demikian adalah menjadi tanggungjawab ketua-ketua editor memastikan organisasi media mereka tidak melampaui batas dalam melaporkan kes-kes sedemikian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Sungai Besar dekat Sabak Bernam hari ini.

    

Walaupun garis panduan dalam undang-undang penerbitan adalah jelas, "setiap akhbar pernah melanggarnya (dalam melaporkan isu sensitif tertentu). Kini membabitkan Utusan (yang melanggar garis panduan)."

    

Hishammuddin berkata adalah sukar untuk mengawal aliran maklumat membabitkan isu-isu sensitif, khususnya dengan kemunculan media baru.

"Kita tidak dapat menghalang maklumat daripada merentasi sempadan. Jika ia tidak dipaparkan melalui akhbar-akhbar perdana, ia akan dapat dipaparkan menerusi media baru seperti portal berita online, facebook dan khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.

    

Mengenai kes simbah cecair yang dipercayai asid di sekitar Lembah Klang, Hishammuddin berkata orang ramai perlu menyalurkan maklumat mengenai suspek yang terlibat bagi membantu pihak berkuasa memberkas mereka yang terbabit dengan secepat mungkin.

     

"Ketua Polis dan Timbalan Ketua Polis Negara meminta saya buat rayuan kepada orang ramai yang mempunyai maklumat tepat mengenai kes asid ini agar tampil ke hadapan membantu polis untuk siasatan lanjut," katanya.

    

Sehingga Jumaat lepas, polis menerima 22 laporan mengenai kes simbah asid sekitar Lembah Klang.

     

- Bernama

ADS