Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan mansuh diesel super subsidy 9 kategori kenderaan
Diterbitkan:  May 16, 2011 11:07 PM
Dikemaskini: 3:10 PM

Kerajaan telah memansuhkan pemberian diesel super subsidy kepada sembilan kategori kenderaan di sektor pengangkutan barangan termasuk teksi limosin berkuatkuasa 1 Jun depan.

    

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam satu kenyataan akhbar hari ini, memaklumkan bahawa berdasarkan keputusan Majlis Ekonomi pada 9 Mei lepas, kategori kenderaan itu tidak lagi membeli bahan berkenaan pada harga RM1.481 sen seliter.

    

Walau bagaimanapun, kenderaan-kenderaan itu masih lagi menikmati subdisi dengan pengambilan di stesen minyak pada harga RM1.80 seliter.

Kategori kenderaan yang terlibat adalah Penggerak Utama, Kargo Am, Luton Kotak, Van (Panel Van, Semi Panel Van dan Window Van), Lori-Rigid Minuman Botol, Lori Tangki Rigid-Tepung, Lori Rigid-Refrigerated, Lori Tangki Air dan teksi limosin.

    

Menurut kenyataan itu, rasionalisasi pemansuhan itu dilakukan memandangkan trend harga minyak yang terus meningkat sejak Oktober tahun lepas yang mengakibatkan peningkatan dalam tanggungan subsidi kerajaan.

    

"Selaras dengan keputusan rasionalisasi pemansuhan ini, kerajaan dianggarkan dapat menjimatkan tanggungan subsidi sebanyak RM659.30 juta bagi tahun ini.

Bagaimanapun, kerajaan masih menanggung subsidi bagi sektor pengangkutan awam sebanyak RM116 juta," menurut kenyataan KPDNKK itu.

    

Sementara itu, KPDNKK memaklumkan bahawa diesel subsidi untuk pengangkutan awam dan bot penumpang sungai dikekalkan selain turut mengekalkan subsidi petrol dan diesel kepada nelayan.

    

Menurut KPDNKK, subsidi bagi kenderaan pengangkutan seperti bas ekspres, bas henti-henti, bas pengantara, bas mini, bas sekolah, kereta sewa, teksi, bomba, ambulans dan kenderaan mayat dikekalkan pada harga RM1.481 seliter.  

    

Dalam pada itu, KPDNKK berkata kerajaan juga akan memperkenalkan kaedah dan langkah baru pada masa akan datang untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti nelayan.

    

Oleh kerana itu, katanya, kerajaan mengekalkan subsidi kepada sektor ini pada harga RM1.25 sen seliter.

- Bernama

ADS