Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
P'raya S'pura: Pengajaran yang telah kita lalui?
Diterbitkan:  May 17, 2011 2:51 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Walaupun kemenangan lebih dua pertiga yang diperoleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada pilihan raya umum Singapura baru-baru ini memberi mandat kepada parti itu untuk terus memerintah bagi tempoh lebih kurang lima tahun akan datang, namun keputusan itu juga mendedahkan beberapa hakikat menarik, termasuk undi popular PAP telah merosot dan pembangkang mencatat beberapa kejayaan penting.

    

Beberapa faktor yang menyumbang kepada keadaan itu mungkin boleh dijadikan renungan serta iktibar oleh parti politik di Malaysia.

    

Hakikat paling ketara ialah kejayaan pembangkang memanfaatkan perasaan tidak puas hati sebilangan besar anggota "kelas bawahan" terhadap PAP, walaupun parti itu berjaya menjadikan Singapura sebuah negara yang makmur, bersih, mematuhi undang-undang dan selesa untuk didiami.

PAP dianggap "bongkak" apabila ia tidak lagi prihatin terhadap sungutan golongan kurang berada, termasuk berkaitan kenaikan harga, khususnya kenaikan harga rumah dan ini menyebabkan ramai pengundi tidak memilihnya.

    

Rumah pangsa Lembaga Pembangunan Perumahan yang sebelum ini dijual pada harga S$80,000 (RM193,600) seunit, kini dijual pada harga S$400,000 (RM968,000).

Ramai rakyat Singapura dikatakan terpaksa bekerja lebih masa untuk menambah pendapatan bagi menampung kenaikan kos sara hidup.

    

Kemasukan ramai pendatang secara mendadak juga merupakan satu lagi perkara yang menimbulkan kemarahan pengundi. Kebanyakan syarikat lebih suka menggunakan khidmat pekerja asing kerana upah mereka lebih rendah daripada pekerja tempatan, di samping amalan sistem kontrak yang tidak menuntut tanggungjawab sosial yang tinggi.

    

Pengaliran masuk secara beramai-ramai pekerja luar ini menjadikan rakyat asing kini berjumlah satu perempat daripada lima juta penduduk Singapura.

Berikutan peningkatan kos sara hidup, penurunan kuasa membeli domestik dan pelebaran jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin, maka tidak hairanlah ramai rakyat Singapura kecewa dengan cara PAP mentadbir negara itu dalam tempoh beberapa tahun lepas.

    

Beberapa penganalisis politik berpendapat jika tidak kerana kebijaksanaan Perdana Menteri Lee Hsien Loong serta sikap merendah diri beliau ketika berkempen, termasuk kesediaannya memohon maaf atas beberapa kesilapan PAP, Pembangkang mungkin meraih jumlah undi yang lebih besar.

Dr Ooi Kee Beng, Felo Kanan di Institut Kajian Asia Tenggara berkata Hsien Loong telah bertindak bijak apabila beliau mengambil langkah untuk mengawal kerosakan setelah PAP terkedu dengan langkah pembangkang pada peringkat awal berkempen.

    

PAP kemudiannya mengubah rentak dengan mengamalkan pendekatan lembut berbanding pendekatan tegas sebelumnya setelah menyedari bahawa rakyat akan menggunakan "status quo untuk membuat perubahan, bukan untuk mengubah status quo", katanya.

Mungkin, golongan yang terjejas oleh beberapa keputusan kerajaan sebelum ini tiada pilihan selain terpaksa menanggung saja akibatnya, tetapi mereka tidak mahu anak cucu mereka menderita pada masa akan datang dan sebab itulah mereka mengundi Parti Pekerja (WP) dengan harapan nasib anak cucu mereka akan terbela.

Penganalisis politik Ong Kian Ming pula berkata isu yang dihadapi rakyat Singapura agak berbeza dengan di Malaysia apabila semakin ramai generasi mudanya menjadi pengundi.

    

"Saya rasa rakyat Singapura menumpukan perhatian terhadap Malaysia selepas negara jiran mereka itu mengadakan pilihan raya umumnya pada Mac 2008. Anda dapat melihat betapa pembangkang menjadi lebih kuat dan saya berpendapat rakyat Singapura mendapat ilham dari sana (Malaysia)," katanya.

Ong berkata walaupun kelihatan seolah-oleh wujud persamaan dalam sesetengah isu seperti kenaikan harga rumah, tetapi kerajaan Malaysia telah menangani perkara itu melalui skim "Rumah Pertamaku" untuk pekerja sektor swasta berusia 18 hingga 35 tahun yang berpendapatan lebih RM3,000 sebulan.

Bakal pembeli boleh mendapat hingga 100 peratus pembiayaan untuk dibayar balik hingga selama 30 tahun bagi rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000 di bawah skim itu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berbuat demikian setelah mengambil kira sungutan rakyat selepas pilihan raya umum pada Mac 2008.

Beberapa pemerhati politik pula berkata WP mencatat prestasi lebih baik berbanding parti pembangkang lain kerana ia begitu "rapat dengan kelas bawahan dalam masyarakat".

    

WP bukan saja mampu mempertahankan Kawasan Anggota Tunggal (SMC) Hougang, malah membuat kejutan di Kawasan Perwakilan Berkumpulan (GRC) Al-Junied dengan mengalahkan pasukan PAP yang diterajui Menteri Luar George Yeo.

    

Bagaimanapun, setiausaha agung WP Low Thia Khiang berkata beliau percaya kejayaan parti itu lebih berpunca daripada pendekatannya yang bersifat "sebuah parti Pembangkang yang rasional, bertanggungjawab dan berwibawa".

    

Low dilaporkan berkata WP tidak menentang semata-mata kerana mahu menentang dan ia juga "tidak suka berlebih-lebihan untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa ia perlu mengamalkan sikap berkonfrontasi, semata-mata kerana ia sebuah parti pembangkang".

    

WP juga mencatat prestasi lebih baik berbanding parti Pembangkang lain kerana calonnya terus memberi khidmat dan "tidak terus hilang, tetapi tetap menampakkan kehadiran mereka di kawasan masing-masing, walaupun kalah dalam pilihan raya 2006.

- Bernama

ADS