Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PPMM: Pertahan Islam secara berhemah
Diterbitkan:  May 17, 2011 3:36 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) memandang serius laporan mengenai dakwaan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali bahawa beliau bersedia melancarkan perang salib terhadap orang Kristian jika mereka didakwa terus mencabar kedudukan Islam di negara ini.

"Jika laporan ini benar, ia amatlah menyedihkan kerana sikap toleransi antara kaum itu sudah mula terhakis di negara ini," kata Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar.

Katanya, walaupun memang terdapat kebimbangan terhadap kedudukan agama Islam yang sering dipersoalkan oleh segelintir golongan yang tidak menghayati semangat Perlembagaan dan susunatur masyarakat yang telah lama dipersetujui, PPMM menegaskan masih terdapat ruang untuk berdialog, meningkatkan persefahaman ataupun berlitigan di mahkamah bagi memutuskan sesuatu isu di Malaysia.

"Melancarkan peperangan bukanlah suatu pilihan yang perlu difikirkan buat masa ini. Fikrah ini hanya akan menambahkan perasaan Islamiphobia terhadap agama Islam sahaja.

"Mempertahankan agama Islam perlu dilakukan dengan berhemah dan kekerasan hanyalah merupakan jalan terakhir," kata Zainul Rijal sambil menambah Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah Islamiah serta mempertahankan maruah Islam, tidak memilih jalan peperangan.

"Malah terdapat situasi Rasulullah SAW berundur sementara (seperti dalam peristiwa Hijrah) bagi mengukuhkan dakwah dan kenegaraan Islam. Teladan daripada Rasulullah SAW wajarlah dicontohi," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, gunakanlah saluran yang ada seperti saluran undang-undang dan politik bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

"Setiap rakyat perlu akur kepada peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa serta keluhuran Perlembagaan. Tidak ada keperluan bagi melancarkan perang terhadap mana mana golongan di Malaysia walaupun dikatakan atas nama agama.

"PPMM menegaskan bahawa kenyataan Presiden PERKASA tersebut tidak menggambarkan pendirian masyarakat Islam arus perdana.

"Masyarakat Islam arus perdana  diseru supaya bersikap toleran dalam situasi yang agak gawat ini dan masyarakat bukan Islam hendaklah menghormati kedudukan Islam sebagai agama negara sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Kontrak sosial yang telah sekian lama menjadi resipi keamanan negara perlulah dikekalkan bagi menjamin kelangsungan kemajuan negara pada masa hadapan," tambahnya.

ADS