Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tumpuan untuk perebutan jawatan nombor dua dalam PAS kini beralih kepada naib presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula apabila ulama popular itu dilihat sebagai penentu kemenangan calon-calon yang bertanding.

Ditambah kelebihan sebagai anak saudara Datuk Nik Aziz Nik Mat dan penceramah yang sering muncul di kaca televisyen sebelum ini, sebarang keputusan lanjut Tuan Ibrahim akan menentukan nasib dua lagi calon -- Nasharudin Mat Isa dan Mohamad Sabu.

pas muktamar 130610 tuan ibrahim tuan man Pemerhati politik berpendapat, sekalipun Tuan Ibrahim (kiri) terus menolak hasrat akar umbi PAS untuk bertanding, beliau masih mempunyai pengaruh dalam pemilihan parti yang akan diadakan pada 3 hingga 5 Jun ini.

Ini kerana, ketika beliau berterusan menepis pujukan dan desakan, Tuan Ibrahim tetap mendapat jumlah pencalonan ketiga terbesar selepas Nasharudin dan Mohamad.

Ketiga-tiga mereka bersaing rapat dengan perbezaan tidak sampai sepuluh undi.

Walaupun jawatankuasa pemilihan PAS membuat keputusan tidak mendedahkan jumlah pencalonan yang diterima setiap pihak, Malaysiakini difahamkan Mohamad mendahului dengan pencalonan dari sekitar 47 kawasan, diikuti Nasharudin (43) dan Tuan Ibrahim (39).

Perang dingin

Turut layak untuk bersaing Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak, Naib Presiden Salahuddin Ayob dan bekas naib presiden Husam Musa ( pertama dari kiri ).

husam musa mat sabu nasharuddin mat isa 220409 Ketiga-tiga mereka bagaimanapun difahamkan mendapat tidak sampai sepuluh pencalonan dan dipercayai tidak akan turut bersaing.

Keputusan pencalonan itu jelas menunjukkan hasrat luar biasa yang mahukan Tuan Ibrahim menyertai perlawanan merebut kerusi panas itu.

Kehadirannya dilihat sesetengah pihak sebagai penyelamat terhadap kemelut dua kumpulan berbeza pandangan dalam PAS -- yang kemuncaknya dilihat dalam pemilihan lalu apabila berlaku pertembungan terbuka antara 'kumpulan Erdogan' dan kumpulan pro-kerajaan perpaduan.

'Perang dingin' itu -- yang turut dilihat melalui cadangan Nik Aziz supaya dianjurkan muktamar khas bagi menyingkirkan pemimpin tertentu  -- dilihat terus berlanjutan.

Walaupun tidak dapat dibuktikan, terdapat cakap-cakap bahawa kompromi Mohamad dan Husam -- yang dianggap pemimpin penting Erdogan -- berjaya mencapai kata sepakat kali ini.

Masalah teknikal di 15 kawasan?

Ia dinyatakan melalui pencalonan kawasan Kubang Kerian kawasan yang diketuai Husam kepada Mohamad sebagai timbalan presiden.

Isyarat itu menyebabkan Husam gagal meraih banyak pencalonan dan dikatakan hanya mendapatnya daripada tiga atau empat kawasan sahaja.

pas muktamar in kota bharu Bagaimanapun, trend yang sama tidak berlaku pada Tuan Ibrahim.

Ini sekaligus menggambarkan kekuatan sebenar Tuan Ibrahim yang dalam senyap-senyap membuat kejutan sebagai naib presiden dengan undi tertinggi dalam pemilihan lalu.

Sementara itu, terdapat juga cakap-cakap bahawa berlaku kesilapan teknikal apabila 15 kawasan yang kemungkinan besar mencalonkan Tuan Ibrahim dikatakan gagal menghantar senarai pencalonon akibat tersalah tarikh akhir.

"Dipercayai kalau tidak berlaku kelewatan penghantaran pencalonan oleh lebih 15 kawasan kemungkinan besar pencalonan untuk Tuan Ibrahim akan melepasi 50 pencalonan," tulis pemerhati politik PAS Mohd Sayuti Omar dalam blognya hari ini.

Ditelan mati emak, diluah mati bapa

Bagaimanapun, jika Tuan Ibrahim menukar fikiran, beliau dengan mudah akan mendapat tambahan undi daripada perwakilan daripada 15 kawasan tersebut.

Jika tidak, undi daripada lebih perwakilan di lebih 50 kawasan itu akan pergi kepada siapa? Nasharudin atau Mohamad?

pas muktamar leaders wave hand Daripada 180 kawasan PAS, seramai 152 kawasan menghantar pencalonnnya kepada pejabat agung sebelum 15 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, difahamkan hanya 146 diterima manakala selebihnya ditolak kerana laporan tidak lengkap.

Keadaan sekarang amat menyulitkan kepada Nasharudin dan Mohamad seolah-olah ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Jika Tuan Ibrahim bertanding, undi Nasharudin -- yang berkongsi sokongan daripada tapak yang sama dengannya -- akan terjejas teruk.

Bagaimanapun, untuk berkompromi pula, berdasarkan pendekatan dan ideologi, Mohamad mungkin bukan calon yang mirip dengan Tuan Ibrahim.

ADS