Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2 Jun keputusan kemuka laporan polis Jenain di Mahkamah
Diterbitkan:  May 23, 2011 7:11 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menetapkan 2 Jun ini untuk memutuskan sama ada pihak pendakwaan boleh mengemukakan laporan polis yang dibuat Koperal Jenain dalam kes kematian Aminulrasyid Amzah semasa perbicaraan.

    

Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak berhubung perkara itu.

    

Isu mengenai laporan polis tersebut timbul pada perbicaraan lepas apabila peguambela Jenain, M Athimulan membantah cubaan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani untuk menyoal Jenain berhubung laporan polis yang dibuatnya beberapa jam selepas kejadian.

    

Jenain, 48, membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, antara 1.10 pagi dan 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 di ShahAlam pada 26 April 2010.

    

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Aminulrasyid dilaporkan meninggal dunia kerana luka tembakan di kepala.

Terdahulu dalam hujahannya, Athimulan berkata pihaknya membantah cubaan pihak pendakwaan untuk mengemukakan laporan polis Jenain dalam perbicaraan itu kerana ia melanggar Seksyen 51(a) Kanun Prosedur Jenayah.

    

"Pihak pendakwaan patut beri (laporan polis) kepada kami lebih awal so that we can prepare our defence. Tidak adil bagi kami sekiranya pihak pendakwaan ingin tender laporan polis itu yang boleh menyebabkan keterangan anak guam kami

dicabar," katanya.

    

Seksyen 51(a) memperuntukkan:  

(1) Pihak pendakwaan sebelum memulakan perbicaraan harus menyerahkan kepada tertuduh dokumen-dokumen berikut:

    

(a) satu salinan maklumat yang dibuat mengikut Seksyen 107 berkaitan pertuduhan yang telah dipinda terhadap tertuduh, jika ada;

    

(b) satu salinan sebarang dokumen yang akan dikemukakan sebagai sebahagian daripada bukti pihak pendakwaan

    

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar berhujah pihaknya mengemukakan permohonan itu mengikut Seksyen 145 Akta Keterangan kerana ingin mencabar kebolehpercayaan keterangan tertuduh semasa perbicaraan.

    

Justeru, beliau berkata Seksyen 51(a) tidak boleh diguna pakai kerana mereka tidak mengemukakan dokumen tersebut di peringkat pendakwaan sebaliknya di peringkat pembelaan.

    

"Niat Seksyen 51(a) ialah untuk semua pihak bersedia dengan kes dan sediakan dokumen yang diperlukan agar kes berjalan dengan lancar. Dalam kes ini, isu ini timbul kerana tertuduh baru beri keterangan dan kami dapati keterangannya bercanggah dengan laporan polis.

    

"Dalam isu ini ia (laporan polis) berkaitan dengan proses impeachment ke atas tertuduh bukan ditender sebagai part of evidence. Jadi Seksyen 51(a) dan Seksyen 145 kena dibaca secara berasingan. Bawah Seksyen 145, sama ada keterangan saksi bercanggah atau tidak akan ditentukan oleh hakim kelak," katanya.

    

- Bernama

ADS