Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RTM bakal diperbadankan
Diterbitkan:  May 23, 2011 7:19 PM
Dikemaskini: 11:20 AM

Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) kini dalam proses memperhalusi penstrukturan semula stesen itu sebelum syor memperbadankan RTM dibentang kepada Kabinet, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

    

Beliau berkata cadangan awal untuk memperbadankan RTM telah dikemukakan kepada Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai persediaan menghadapi era penyiaran digital sepenuhnya menjelang 2015.

    

"Sebagai sebuah badan penyiar utama di negara ini, RTM harus menjalani beberapa metamofosis atau perubahan... supaya menjadikan ia lebih tangkas dalam menjalankan tugas untuk negara di samping memberi kepuasan kepada penonton, yakni rakyat," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.

    

Beliau ditemui selepas merasmikan Pemukiman Transformasi RTM di Dewan Cendikiawan, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak, Angkasapuri hari ini.

    

Pemukiman selama dua hari itu bertujuan mengenal pasti langkah yang lebih efektif dalam merekayasa pengisian kandungan di samping menentukan kaedah pemasaran dan promosi untuk meningkatkan rating rancangan dan pendapatan.

    

Rais berkata RTM juga akan bekerjasama dengan badan penyiar lain seperti rangkaian Media Prima dan Astro untuk memastikan produktiviti pemberitaan dan industri penyiaran tanah air setanding media luar negara.

    

Beliau berkata usaha itu bakal memanfaatkan sepenuhnya tenaga kerja RTM berjumlah 4,900 orang.

    

Berhubung langkah pendigitalan, Rais berkata kementerian akan berbincang dengan Astro dan Media Prima bagi menentukan dua stesen itu tidak terkecuali semasa latihan.

    

Sehubungan itu, Rais meminta petugas RTM supaya tidak bimbang dengan kedudukan mereka sekiranya stesen itu diperbadankan bagi memenuhi sistem penyiaran digital kerana kerajaan mempunyai kaedah tersendiri bagi memastikan suasana menang-menang.

    

"Kita tidak perlu gundah-gulana tentang sama ada seseorang itu dikeluarkan atau pun tidak, ada caranya. Tidak perlu kita nyatakan bahawa kita takut hilang kerja atau sebagainya.

    

"Tetapi yang penting sekarang ialah memperbadankan RTM supaya lebih efisien," katanya.

    

- Bernama

ADS