Keadaan sembilan mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat Sabtu lepas semakin stabil tetapi masih trauma mengingatkan tragedi yang mengorbankan 16 nyawa, kebanyakannya kanak-kanak.
    
Seorang petugas Hospital Ampang berkata enam mangsa dirawat di wad biasa manakala tiga lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU).
    
"Tiga di ICU kini stabil dan bertambah baik," katanya.

24 buried alive in landslide at orphanageKejadian tanah runtuh berlaku pada 2.30 petang Sabtu lepas
menimpa Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Al-Taqwa di Hulu Langat mengorbankan 16 nyawa manakala sembilan lagi cedera.
    
Mangsa yang terselamat, Aizat Khusairi, 13, yang ditemui di hospital itu berkata beliau masih kedengaran suara jeritan kanak-kanak lain ketika tragedi itu.
    
Aizat Khusairi yang patah tangan kiri, berkata separuh badannya tertimbus di dalam tanah dan dapat dikeluarkan dua jam kemudian.
    
"Saya memang tinggal di rumah itu. Sekarang makcik yang menjaga saya. Tak tahu bila saya akan pulang dari sini," katanya.
    
Keadaan seorang lagi yang terselamat, Mohd Harris Izzuddin Sahrul, 11, juga bertambah pulih berbanding semalam, menurut ibunya Norizah Ibrahim.
    
24 buried alive in landslide at orphanageNorizah berkata anak sulungnya yang cedera di bahagian kaki
mula melebarkan senyuman hari ini.
    
Siti Fatimah Mohd Alauddin yang bekerja sebagai pengajar kepada anak-anak di rumah itu, kehilangan adiknya Mohd Hazim, 10, yang meninggal dunia akibat tertimbus dalam runtuhan itu.
    
"Saya sempat menyelamatkan baby saya (perempuan berumur setahun) dan memberikannya kepada suami saya. Saya berjaya berlari keluar dari tempat kejadian itu," kata Siti, yang berusia dalam lingkungan 20-an.

Sementara itu, Hasnah Ismail, nenek kepada salah seorang mangsa tragedi tersebut berkata cucunya, Mohd Aiman Abdullah suka bersedekah dan suka belanja kawan-kawan makan.

Hasnah, 56, berkata Aiman, 10, yang tinggal dengannya sejak kecil merupakan cucu yang baik selain suka bergurau.
   
Beliau berkata cucunya itu sangat suka belajar di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Madrasah Hidayah Al-Taqwa itu sehinggakan apabila pulang ke rumah, arwah tidak sabar-sabar untuk kembali semula ke madrasah terbabit.
   
"Selalunya dia tidak sabar-sabar untuk kembali semula ke rumah anak-anak yatim ini sampai kadang-kadang pun tak boleh tidur malam," katanya yang menetap di Pantai Dalam, Bangsar.
   
Hasnah ditemui di majlis penyampaian sumbangan RM10,000 Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor dan kerajaan negeri Selangor yang disampaikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin di lokasi tanah runtuh itu di Hulu Langat hari ini.
   
"Kali terakhir nenek jumpa Aiman 23 Mac lepas. Tapi sekarang nenek tak boleh jumpa dia lagi, nenek rindu sangat dengan Aiman," katanya sambil menitiskan air mata ketika ditemu bual wartawan.
   
Menurutnya sumbangan diterima hari ini akan digunakan untuk kenduri tahlil selain bercadang menunaikan ibadat haji untuk Aiman.
   
Norliayah Mohd Raus, 42, pula berkata kelakuan anaknya Norahimi Rosli, 14, semakin positif selepas memasuki madrasah itu.
   
"Dia masuk ke madrasah ini tahun lepas, dulu perangainya nakal tetapi bila dia dah masuk ke tempat ini perangainya semakin baik dan boleh mendengar kata," katanya.
   
Norliayah berkata sumbangan RM5,000 daripada MAIS dan Lembaga Zakat Selangor akan digunakan untuk kenduri tahlil anaknya.
   
Mohd Aiman dan Norahimi  antara 16 mangsa yang terkorban  dalam kejadian tanah runtuh itu pada Sabtu lepas.
   
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Abdul Rashid Abdul Wahab berkata polis akan menutup bilik gerakannya di lokasi kejadian selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok.
   
"Jalan juga akan ditutup sementara kepada orang ramai semasa lawatan Perdana Menteri bagi melancarkan perjalanan keluar masuk PM ke lokasi kejadian," katanya.
   
Tinjauan Bernama di sini pula mendapati pihak polis masih berkawal di sekitar kawasan kejadian.
   
Keadaan kawasan kejadian juga lengang dan tidak lagi menjadi tumpuan penduduk seperti pada hari kejadian dan hanya ada pihak media yang membuat liputan serta kumpulan pasukan penyelamat mengawasi persekitaran.

 - Bernama