Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam Ummi Hafilda diarah hadir di mahkamah
Diterbitkan:  May 23, 2011 5:54 PM
Dikemaskini: 12:59 PM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan peguam yang mewakili ahli perniagaan Ummi Hafilda Ali dalam kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan terhadap bekas rakan perniagaannya dan pengendali laman berita Malaysiakini, supaya hadir ke mahkamah pada 13 Jun ini.

    

Hakim Datuk V T Singham berkata ini kerana mahkamah akan membuat arahan selanjutnya berkaitan kes itu pada tarikh berkenaan yang ditetapkan bagi pengurusan kes.

    

Beliau juga mengingatkan peguam lain yang mengendalikan kes sivil supaya hadir sendiri ke mahkamah semasa kes mereka disebut untuk pengurusan kes dan tidak mewakilkan peguam lain bagi pihak mereka.

Hakim Singham berkata demikian selepas peguam Hajjaral Aswani Ibrahim memaklumkan bahawa beliau mewakili peguam Ummi Hafilda iaitu Sahrihan Jani yang tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana mempunyai kes lain di Mahkamah Tinggi Muar.

    

Hakim itu berkata Sahrihan sepatutnya menghantar surat kepada mahkamah memohon kes tersebut ditangguhkan agar mahkamah dapat memberi pertimbangan sewajarnya.

    

NONE Sebelum itu, Hajjaral Aswani meminta tarikh baru bagi pengurusan kes saman Ummi Hafilda kerana pihaknya belum menerima writ saman yang dimeterai mahkamah.

Pada 25 April lepas, Ummi Hafilda (kiri) memfailkan semula saman fitnah yang sebelum ini dibatalkan Mahkamah Tinggi 13 April lalu, selepas peguam kedua-dua pihak tidak hadir ketika ia pertama kali disebut.

    

Beliau yang menamakan Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda dan Mkini Dotcom Sdn Bhd sebagai defendan, mendakwa Nor Azman dalam satu temuramah di lobi Parlimen telah mengeluarkan kenyataan bersifat fitnah serta menyerangnya secara peribadi.

    

Ummi Hafilda mendakwa kenyataan Nor Azman itu dibuat untuk memalukannya dan berniat jahat seolah-olah beliau seorang wanita yang mempunyai banyak skandal serta amat tidak jujur, selain terlibat dengan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengakibatkan pertuduhan liwat terhadap ketua pembangkang tersebut.

    

Mkini Dotcom Sdn Bhd pula didakwa telah secara cuai membenarkan penerbitan, penulisan dan penyiaran artikel bersifat fitnah itu di lamanweb www.malaysiakini.com pada 15 Mac lalu.

    

Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta dan injunksi bagi menghalang kedua-dua defendan daripada terus membuat kenyataan fitnah terhadapnya.

    

- Bernama

ADS