Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Teoh: Mahkamah benar permohonan AG untuk penangguhan
Diterbitkan:  May 23, 2011 9:03 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menangguhkan kepada 14 dan 15 Julai untuk mendengar permohonan semakan oleh Peguam Negara terhadap keputusan terbuka Mahkamah Koroner berhubung kes kematian Teoh Beng Hock.

    

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki berkata Suruhanjaya Siasatan kematian pembantu politik itu sudah tentu telahpun menyelesaikan tugas mereka ketika itu, dan mahkamah boleh meneliti kesemua nota prosiding dan bahan bukti yang kini berada dengan suruhannya berkenaan.

    

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengemukakan permohonan untuk penangguhan itu. Beliau diwakili di mahkamah oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar yang berkata permohonan itu dibuat agar permohonan semakan boleh didengar selepas Suruhanjaya Siasatan menyelesaikan prosidingnya.

"Kami bukanlah cuba melengahkan masa atau menghalang keluarga daripada mencari keadilan tetapi permohonan ini dimulakan oleh AG (Peguam Negara) sendiri dengan hasrat untuk mencari kebenaran dalam perkara ini," kata Mohd Dusuki.

    

Suruhanjaya itu mengumumkan bahawa keputusan laporan itu akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 24 Jun ini.

    

Peguam Karpal Singh, yang mewakili keluarga Teoh, membantah permohonan Gani untuk penangguhan itu, dengan berkata Peguam Negara telahpun memfailkan permohonan semakan sebelum pun pengumuman dibuat mengenai penubuhan suruhanjaya berkenaan dan perbicaraan mesti diteruskan demi keadilan.

"Keadilan perlu ada buat keluarga ini. Permohonan AG di peringkat ini adalah mala fide (berniat jahat). Hakikatnya, tiada sebarang tanda dari pejabat beliau bahawa beliau akan memohon penangguhan sejak perkara ini dibangkitkan untuk pengurusan kes pada 17 Februari," katanya.

    

Gani memfailkan permohonan semakan pada 5 Januari, pada hari yang sama Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan terbuka dan memutuskan bahawa kematian Teoh pada 2009 bukanlah membunuh diri atau dibunuh.

    

Teoh, setiausaha politik anggota exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai, 2009, di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Selangor di tingkat 14 bangunan yang sama.

Hakim Mohtarudin berkata beliau bersetuju dengan Karpal bahawa perbicaraan mengenai permohonan semakan semula itu perlu diteruskan, namun menambah mahkamah memerlukan semua nota prosiding dan bahan bukti inkuiri yang ketika ini berada dengan suruhanjaya berkenaan.

"Saya sememangnya bersetuju untuk meneruskan permohonan ini secepat mungkin tetapi mahkamah ini memerlukan kesemua rekod dan tanpanya, kita tidak boleh meneruskan perbicaraan dan oleh itu, saya membenarkan permohonan untuk penangguhan," katanya.

- Bernama   

ADS