Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR dakwa Khairy bersandiwara
Diterbitkan:  May 23, 2011 7:31 PM
Dikemaskini: 1:34 PM

PKR mendakwa Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hanya bersandiwara untuk berlagak sebagai jaguh rakyat ketika pilihan raya umum semakin dekat apabila menentang usul kenaikan harga minyak kerana membebankanr akyat.

Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata media antara lain melaporkan Khairy menggesa Pemuda Umno seluruh negara membuat usul menentang kenaikan harga minyak kerana membebankan rakyat.

Khairy juga dilaporkan mencadangkan kerajaan menyemak semula perbelanjaan untuk program PLKN yang berjumlah RM600 juta dan mencadangkan kerajaan melakukan penjimatan perbelanjaan.

Mengulas lapaoran tersebut, Saifuddin berkata secara luarannya ucapan Khairy dilihat menentang penarikan subsidi dan kenaikan harga petrol dan barang keperluan oleh kerajaan.

"Ucapan ini nampak seolah-olah lunak, tetapi sebenarnya tidak lebih dari sebuah sandiwara untuk berlagak jaguh rakyat terutama ketika pilihanraya umum semakin dekat.

"Ini kerana pada tiga tahun lepas, Khairy membuat kenyataan yang jauh sama sekali bertentangan dengan kenyataan beliau hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini

Saifuddin berkata, beliau telah menyemak ucapan Khairy di Dewan Rakyat pada 23 Jun 2008 ketika membahas usul kenaikan harga petrol dan barangan yang dikemuka menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

"Dalam ucapan tersebut, Khairy direkod hansard sebagai berkata, "walaupun pahit dan mengundang pelbagai reaksi negatif rakyat jelata, (namun) keputusan kerajaan menstrukturkan (menarik balik) subsidi merupakan satu keperluan ekonomi yang tidak dapat dielakkan".

"Beliau juga berkata dengan menaikkan harga minyak dan harga barangan keperluan, kerajaan membuat keputusan yang bertanggungjawab, beramanah dan jauh memandang ke hadapan.

"Beliau menambah, walaupun rakyat terpaksa memikul beban hari ini, penstrukturan semula subsidi ini membawa system yang lebih adil dengan subsidi yang progresif," kata Saifuddin.

Harus diingat, tambah ahli parlimen Machang itu, petikan ucapan di atas adalah ketika bapa mertua Khairy, Tun Abdullah Badawi menjadi perdana menteri.

"Soalan saya, kenapa Khairy sebagai seorang pemimpin utama parti Umno mengubah pendirian prinsipnya hanya dalam masa tiga tahun.

"Kenapa ketika bapa mertuanya menjadi perdana menteri, Khairy menyokong penarikan subsidi dan kenaikan harga barang, sedangkan ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri, Khairy terpaksa meminjam hujah Pakatan Rakyat yang konsisten menentang kenaikan harga barang dan penarikan subsidi kepada rakyat?

"Saya percaya ini, sikap sebenar Khairy adalah ketika bapa mertuanya menjadi perdana menteri dan sikapnya tidak pernah berubah, kecuali untuk mengabui mata rakyat dan berlagak hero menjelang pilihanraya ke-13," tambah Saifuddin.

ADS