TPM: Kajian semula dasar subsidi perlu dilakukan

   

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun menyedari kajian semula dasar pemberian subsidi akan menyebabkan kerajaan tidak popular dalam kalangan rakyat, langkah itu perlu dilakukan kerana ia merupakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab ia perlu menguruskan pembangunan dan ekonomi negara dengan betul untuk mengelak rakyat menanggung beban lebih teruk pada masa depan.

    

"Apa sahaja yang membabitkan penambahan kos kepada rakyat, ia akan menyebabkan kerajaan tidak popular. Walaupun kita mahu popular, tetapi pada masa yang sama kita juga perlu bertanggungjawab kepada rakyat," katanya di Pagoh hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan penduduk Kampung Tulang Gajah dan menerima borang keahlian Umno daripada penduduk Orang Asli Kampung Sentosa.

    

Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno berkata, pengurusan ekonomi dan kewangan yang betul akan memastikan Malaysia tidak mengikut jejak beberapa negara Eropah yang ekonominya mengalami masalah.

Muhyiddin berkata jika negara mengalami kemerosotan ekonomi disebabkan pengurusan ekonomi dan kewangannya yang tidak betul, rakyat akan menanggung kesan yang mendalam.

   

Menurutnya kerajaan mahu melihat defisit negara yang berada pada kadar 5.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika ini, dapat dikurangkan menerusi pendekatan rasionalisasi subsidi.

   

"Kerajaan mahu kadar defisit negara itu dikurangkan kerana jika ia terus meningkat, kita bimbang penarafan negara akan diturunkan dan menyebabkan tiada kemasukan pelabur dan tiada pekerjaan baru diwujudkan.

   

"Jika ini berlaku, rakyat akan menanggung bebannya," kata timbalan perdana menteri. 

   

Muhyiddin berkata kerajaan akan tetap meneruskan pemberian subsidi kepada rakyat tetapi ia perlu memastikan hanya golongan yang memerlukannya seperti mereka yang berpendapatan rendah, kurang upaya dan miskin, sahaja menerimanya.

   

"Kita tidak akan menarik balik 100 peratus pemberian subsidi kepada rakyat," katanya.

   

Pada ketika ini, kerajaan memberi subsidi kepada rakyat menerusi barangan seperti minyak, gula, tepung, gas, elektrik dan beberapa barangan lain.

Muhyiddin berkata pemberian subsidi minyak tahun ini telah menyebabkan kerajaan menanggung beban kewangan sebanyak RM10 bilion, dan jika harga minyak dunia terus meningkat, jumlah subsidi itu meningkat kepada RM14 bilion.

   

"Tidak ada negara lain di dunia seperti Malaysia yang sanggup menanggung beban yang besar di segi kewangannya untuk menyediakan subsidi kepada rakyat bagi memastikan harga barang-barang terbabit rendah," katanya.

   

- Bernama

 

 

 

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In