Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa enggan membuat andaian awal berhubung peluangnya dalam persaingan merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu Jumaat ini.

Sebaliknya beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk memenangkan calon bagi jawatan tersebut.

NONE "Pemilihan (parti) pada hari Jumaat. Saya tidak boleh membuat sebarang andaian terhadap keputusan yang akan terjadi.

"Kami serahkan kepada perwakilan apabila tiba masanya," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda PAS di Shah Alam pada Selasa malam.

Ditanya sama ada sokongan ulama akan berpecah susulan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut bertanding jawatan tersebut, Nasharudin menyifatkan soalan itu hanya bersifat "andaian".

Katanya beliau tidak boleh membuat andaian kerana kawasan PAS telah mencalonkan ketiga-tiga calon dan kesemuanya menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan tersebut.

"Sebagai amalan yang diamalkan dalam PAS, kami serahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan pada hari tersebut... Kami tak boleh buat ramalan," katanya.

Erti perpaduan Melayu-Islam

Sementara itu Nasharudin dalam ucapannya sebelum itu secara tidak langsung dilihat mengambil peluang menepis tanggapan yang mengaitkannya dengan Umno, khususnya dalam isu kerajaan perpaduan.

NONE Beliau menegaskan kerjasama politik PAS bersama PKR dan DAP "terangkum dalam kaedah Siasah Syariyyah yang amat jelas."

"Kaedah at-Tahalluf as-Siyasi (kerjasama politik) pula mengizinkan kita bergabung dengan parti-parti lain seperti Semangat 46 dan kini dengan PKR dan DAP di bawah bendera Pakatan Rakyat."

Bukan itu sahaja, Nasarudin menambah, berdasarkan sejarah, PAS semakin diminati golongan intelektual ekoran sikap Umno yang didakwa amat pro-British dan "memberikan laluan mudah kepada MCA dan MIC". 

"Ini semakin meyakinkan PAS untuk bertanding dalam pilihan raya pertama bersendirian di atas tiket PAS dan sanggup menentang mana-mana parti politik yang lain, hatta Umno itu sendiri yang turut dianggotai oleh umat Melayu-Islam! 

"PAS amat memahami erti wehdah (kesatuan) dan 'perpaduan umat Melayu-Islam'," katanya lagi.

ADS