Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penubuhan Kelab Isteri Taat oleh Global Ikwan - organisasi yang ditubuhkan bekas ahli pertubuhan Al-Arqam - mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.

Yang Dipertua Angkatan Belia Islam (ABIM) Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni berpendapat kelab sebegitu tidak mempunyai keperluan untuk diwujudkan.

"Saya rasa tidak perlu (tubuh kelab). Saya rasa, pendidikan dan ilmu itu yang lebih penting disampaikan. Macam ada kesepakatan hendak kumpul power pula," katanya sambil ketawa.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana masih belum jelas apa sebenarnya tujuan kelab itu ditubuhkan.

"Nampak macam hendak ke arah itu... supaya suami senang hendak kahwin satu lagi," katanya yang sering ketawa sepanjang dihubungi Malaysiakini hari ini.

Kelab yang dianggap sebagai pelengkap kepada Kelab Poligami Malaysia yang ditubuhkannya sebelum ini akan dilancarkan di Rawang esok.

Ia antaranya dilaporkan bertujuan membentuk isteri supaya lebih taat kepada suaminya, sekali gus memainkan peranan mengelakkan penceraian dan keganasan rumahtangga.

Sementara itu, Naib Ketua Muslimat PAS Senator Mumtaz Md Nawi pula berpendapat sebaliknya.

Mumtaz berkata, beliau tidak akan menentang usaha itu kerana ia merupakan sesuatu yang baik.

"Ketaatan mesti seimbang mengikut tatacara seorang Islam secara menyeluruh dan berterusan," katanya ketika ditemui di muktamar PAS selepas membuang undi dalam pemilihan pemimpin pusat parti itu.

"Dalam al-Quran, ada menyebut supaya isteri taat kepada suami seperti Sulaiman kepada Balqis, Yusuf kepada Zulaikha dan Nabi Muhammad kepada isteri-isterinya."

ADS