Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Semaian: Tiada TOL tapi MB jamin hak pengusaha
Diterbitkan:  Jun 4, 2011 10:57 AM
Dikemaskini: 4:09 AM

Tanggungjawab untuk menyelenggara serta menjaga tanah yang dijadikan tapak perniagaan pokok hiasan dan semaian di Sungai Buloh diserahkan kepada Yayasan Selangor berikutan terdapat saluran paip air bawah tanah yang sensitif di kawasan itu.  

khalid ibrahim press conference 200211 1 Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataan akhbarnya berkata Yayasan Selangor akan memastikan tapak-tapak semaian diurus secara sistematik kerana pemilik terdahulu iaitu Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) tidak mempunyai kepakaran teknikal.

Menurut Khalid, tanah-tanah berkenaan dianggap sensitif berikutan kedudukan saluran paip yang terdapat di bawahnya.

"Mulanya kami beranggapan paip-paip ini dimiliki SYABAS, tetapi selepas audit dijalankan didapati saluran paip ini adalah sebahagian daripada RM10 bilion aset air yang dimiliki kerajaan negeri.  

"Maka adalah mustahak bagi kerajaan negeri mengekalkan hak pemilikan tanah ini bagi memastikan aset-aset milikan negeri dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik," katanya.

Sungai Buluh, nursery Sementara itu, TV Selangor memetik Khalid yang ditemui pada majlis perasmian projek perumahan mampu milik di Bandar Baru Bangi berkata, keadaan di kawasan tersebut juga  memerlukan perhatian rapi.   

"Semua orang tidak boleh memiliki tanah tersebut. Tanah tersebut terdapat paip yang besar di bawahnya yang dimiliki oleh kerajaan negeri. Kalau berlaku kerosakan paip pada tanah tersebut, semua rakyat Selangor tidak dapat minum.

Hak diambil-kira

“Kita tidak boleh bagi bagi pemilikan persendirian. Tetapi untuk meminta mereka menjaganya, ia adalah sukar. Oleh sebab itu kita minta Yayasan Selangor untuk menjaga kawasan tersebut. Yayasan Selangor akan menjaga dan menyemak cara penggunaan tanah di kawasan tersebut," kata Khalid.   

Menurut Khalid, walaupun tanah-tanah ini lebih elok dibiarkan kosong namun setelah mengambilkira kebajikan pengusaha, kerajaan negeri memutuskan bahawa perniagaan tanaman pokok hiasan dan semaian boleh diteruskan.

Sungai Buluh, nursery Beliau juga memberi jaminan walaupun pengusaha semaian tidak diberi lesen menduduki sementara (TOL), namun hak-hak mereka akan diambil kira.   

"Pengusaha semaian ini boleh terus beroperasi tetapi mesti dijalankan dengan cara yang lebih baik. Dahulunya tanah ini tidak diurus dengan betul dan tiada pengawasan melibatkan pembangunan tanah.

"Kami berpendapat Yayasan Selangor boleh menjaga tanah ini kerana Yayasan mempunyai 30 tahun pengalaman pengurusan hartanah dan pengurus besarnya adalah jurutera profesional berpengalaman yang mampu memantau projek ini," katanya.

Sungai Buluh, nursery Khalid turut menasihatkan pengusaha semaian supaya tidak terlalu bimbang dan memandang  ke hadapan kerana projek itu akan menjadikan kawasan berkenaan lebih bersih dan sistematik selepas kerja-kerja siap dijalankan.   

Di bawah sistem yang baru ini, isu kutipan sewa tanah yang membelenggu pengusaha-pengusaha semaian juga dapat diselesaikan.  

Ejen kutip sewa

"Kami sedar wujudnya ejen-ejen yang mengutip sewa bagi pihak dan kumpulan tertentu. Mereka ini tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri dan kutipan yang dilakukan ini adalah salah dan perlu dihentikan segera," katanya.  

Menteri Besar juga berkata sistem baru itu membolehkan kerajaan negeri menghentikan aktiviti memajak lesen kepada pihak lain dan hanya membenarkan pengusaha tulen sahaja menjalankan perniagaan di tapak berkenaan.  

Sungai Buluh, nursery "Pajakan ini tidak adil kepada pengusaha tulen yang perlu membayar sewa tanah pada kadar biasa. Ini mungkin satu perkara biasa pada pentadbiran dahulu tetapi sebagai kerajaan baru yang telus serta bertanggungjawab, kami mahu menghentikan perbuatan ini," tegas Khalid.  

Terdapat kira-kira 60 pengusaha semaian di kawasan seluas 20 ekar di Sungai Buloh dan menurut kajian yang dibuat Yayasan Selangor, terdapat pengusaha semaian memperoleh keuntungan sehingga RM2 juta setahun. 

ADS