Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes rasuah Khir: Pengarah Ditamas gelabah
Diterbitkan:  Jun 8, 2011 7:34 PM
Dikemaskini: Jun 9, 2011 2:16 AM

Perbicaraan kes rasuah membabitkan mantan Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo ditunda apabila Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd Datuk Shamsuddin Hayroni menggelabah ketika memberi jawapan dari kandang saksi.

 

NONE Beliau tidak memberikan jawapan- jawapan dengan jelas dan kerap kelihatan murung apabila ditanya mengenai dua lot tanah yang di dakwa di jual kepada Khir pada harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

 

Isnin lalu, Shamsudin ( kiri ) dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan Mohamad Khir untuk melakukan rasuah bersabit urusniaga jual beli dua tapak berkenaan.

 

Ditamas membeli dua lot Seksyen 7, Shah Alam pada harga RM6.5 juta pada tahun 2004 tetapi kemudian menjualnya kepada Mohamad Khir pada harga RM3.5 juta sahaja pada tahun 2007.

 

Dua lot itu digunakan untuk membina apa yang disebut oleh pembangkang sebagai Istana Khir iaitu kediaman mewah dengan kos pembinaan didakwa mencecah RM24 juta.

 

Sebagai balasan, Mohamad Khir selaku Menteri Besar ketika itu didakwa memberikan Shamsudin dan Ditamas pelbagai kontrak. 

 

Shamsudin kelihatan menggelabah apabila ditanya oleh pendakwaraya Abdul Wahab Mohamed mengenai keputusan Ditamas membeli dua tapak tanah itu sebelum dijual kepada Mohamad Khir.

Berurusan terus

Shamsuddin juga memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa beliau pernah berurusan terus dengan Mohamad Khir.

NONE Shamsuddin, yang memiliki beberapa syarikat berkaitan pembinaan dan pembangunan hartanah, berkata beliau kerap berjumpa dengan Mohamad Khir kerana urusan kerja, dan sebagai seorang ahli perniagaan, beliau ada memperkenalkan syarikatnya, cadangan serta perkembangan kerja yang dijalankan oleh syarikatnya.

Katanya antara projek yang dijalankan adalah pembangunan hartanah untuk mendirikan rumah kediaman di Bandar Baru Bangi menerui syarikat miliknya, Roniaga Sdn Bhd.

"Projek-projek tersebut berjalan lancar. Terdapat tiga fasa kesemuanya dan Fasa 1 dan kedua telah siap, manakala kerja-kerja fasa ketiga sedang berjalan," katanya yang mengenali Dr Mohamad Khir sejak 2000.

NONE Beliau adalah saksi kedua pihak pendakwaan yang memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes Mohamad Khir yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Shamsuddin.

Hartanah itu yang terletak di Seksyen 7 di Shah Alam diperoleh pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Mempunyai hubungan

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Mohamad Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di Shah Alam pada 29 Mei 2007.

NONE Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin lalu melepas dan membebaskan Shamsuddin daripada tuduhan bersubahat dengan Mohamad Khir berhubung tuduhan itu.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamad, ahli perniagaan itu berkata beliau ada membuat lanjutan permohonan berhubung projek yang tidak dapat disiapkan kepada Mohamad Khir yang merupakan Menteri Besar ketika itu.

"Saya ada membuat permohonan lanjutan masa secara bersurat dan dialamatkan kepada Pengurus Besar PKNS ketika itu dan juga telah nyatakan sebab-sebab permohonan. Saya menghantar surat itu dengan cara menghubungi dan diserahkan sendiri kepada Datuk Seri Khir Toyo," katanya.

Menjawab soalan mengenai dua lot tanah dan sebuah rumah yang didakwa dibeli oleh Mohamad Khir daripada beliau pada harga murah, Shamsuddin berkata harta itu adalah milik Ketua Eksekutif Syarikat Permodalan Kebangsaan Berhad, Saiful Aznir Shahabudin.

khir toyo mansion 060709 08 Katanya beliau mengetahui Saiful Aznir berhasrat menjual hartanah tersebut daripada seorang kawan, Datuk Sumadi Ismail.

"Saya dan Sumadi ada melawat rumah tersebut dan Saiful Aznir menawarkan mahu menjual hartanah itu RM7 juta. Saya rasa ia terlalu mahal," katanya.

Terlalu mahal

Terdahulu, saksi pendakwaan pertama, Saiful Aznir memberitahu mahkamah bahawa dua lot tanah di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 itu, dijual oleh beliau kepada Shamsuddin dengan harga RM6.5 juta pada Disember 2004.

Beliau berkata pembayaran itu adalah untuk Lot 8 dan 10, masing-masing dijual pada harga RM4.3 juta dan RM700,000.

Katanya pembayaran RM1.5 juta lagi adalah untuk binaan seperti gazebo, trek joging, air pancut, kolam renang dan kolam ikan serta perabot.

Saiful Aznir berkata sebelum beliau menjual tanah berkenaan kepada Shamsuddin, Mohamad Khir dan Zahrah, ada melawat ke rumahnya di Lot 8 dan meninjau kawasan itu antara 10 dan 15 minit sebelum beredar selepas bertanya berapa harga yang ditawarkan.

khir toyo mansion 060709 07 Katanya apabila dimaklumkan harga yang ditawarkannya RM7 juta, Mohamad Khir berkata ia terlalu mahal.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mokhtaruddin Baki disambung pukul 9 pagi esok.

Mohamad Khir diwakili peguam M Athimulan.

ADS