Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendakwaan tak dibenar kemuka laporan polis Jenain
Diterbitkan:  Jun 10, 2011 4:35 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini memutuskan untuk tidak membenarkan pihak pendakwaan mengemukakan laporan polis yang dibuat Koperal Jenain Subi, tertuduh dalam kes kematian Aminulrasyid Amzah, semasa perbicaraan.

Hakim Latifah Mohd Tahar semasa membuat keputusan itu berkata pihak pendakwaan sepatutnya mengemukakan dengan lebih awal segala dokumen yang akan digunakan dalam perbicaraan kepada pihak pembelaan, terutama dokumen yang berkemungkinan akan digunakan untuk menyangkal keterangan pembelaan.

azlan Beliau berkata tujuan Seksyen 51 (a) Kanun Prosedur Jenayah ialah untuk meletakkan kewajipan ke atas pihak pendakwaan dalam mengemukakan dokumen kepada pihak pembelaan di peringkat awal perbicaraan.

"Mengemukakan (laporan polis) di tahap ini akan memprejudiskan pembelaan. Pihak pendakwaan tidak menepati Seksyen 51 (a) dan justeru dokumen (laporan polis) tidak boleh dikemuka pada perbicaraan," katanya.

Dalam perbicaraan lepas, pihak pendakwaan memohon untuk mengemukakan laporan polis Jenain di mahkamah bagi mencabar kebolehpercayaan tertuduh yang dikatakan memberi keterangan bercanggah dengan laporan polisnya.

Peguam bela Jenain, M Athimulan bagaimanapun membantah dengan alasan pihak pendakwaan sepatutnya memberi dokumen itu (laporan polis) pada peringkat awal perbicaraan bagi membolehkan pihaknya menyediakan pembelaan dan permohonan itu didakwa melanggar Seksyen 51(a) Kanun Prosedur Jenayah.

azlan Jenain, 48, diperintah membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, antara 1.10 pagi dan 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 di Shah Alam, pada 26 April 2010.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Aminulrasyid dilaporkan meninggal dunia kerana luka tembakan di kepala.

Sementara itu, semasa menyambung keterangannya hari ini, Jenain menegaskan bahawa sebanyak 21 das tembakan yang dilepaskan ke bahagian bawah kereta Proton Iswara yang dipandu Aminulrasyid hanya bertujuan memberhentikan kenderaan itu yang lari daripada pemeriksaan polis.

NONE Anggota polis itu tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani bahawa dia melepaskan tembakan dengan niat untuk menyebabkan kematian mangsa.

Jenain juga tidak bersetuju dengan cadangan Idham bahawa semua keterangan yang diberikannya di dalam mahkamah adalah satu pembohongan.

Perbicaraan disambung pada 17 Jun ini.

- Bernama

ADS