Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Puad: PAS sanggup dibuli DAP
Diterbitkan:  Jun 12, 2011 4:40 PM
Dikemaskini: Jun 13, 2011 12:42 AM

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mencabar PAS agar menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu kerana ia "menimbulkan kekeliruan banyak pihak".

    

Menurut beliau, bukan saja bukan Melayu tidak faham atau keliru tetapi PAS turut mengelirukan umat Islam sendiri, bila ia mempolitikkan akidah dan ini cukup bahaya.

    

"Jadi, kalau parti itu sudah sanggup dibuli oleh DAP sehinggakan akhirnya Pas boleh menggugurkan perjuangan negara Islamnya, maka kalau begitu saya cabar PAS supaya gugurkan sahaja perkataan Islam daripada nama parti itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuala Pilah hari ini.

    

Timbalan menteri pelajaran itu berkata PAS bertindak beralih kepada konsep negara berkebajikan sebab ia sudah tidak ada istilah lain untuk digunakan.  

Sebaliknya, kata beliau, Umno sudah lama memperjuangkan kebajikan rakyat negara ini dan ia sudah cukup terbukti berdasarkan trek rekodnya.

Sementara itu, Mohd Fuad berkata, kekuatan Umno hanya boleh dilemahkan apabila semangat dan perjuangannya semakin pudar.

    

"Dan inilah sebenarnya yang menjadi kunci kekuatan kenapa Umno tidak boleh dimatikan selama ini. Umno boleh mengubah dasar, hala tuju dan juga cita-citanya, tetapi ia akan menjadi berbahaya sekiranya semangat dan perjuangannya luntur.

    

"Walaupun Umno dari segi sejarah pernah berlaku ditinggalkan, penyingkiran, reformasi jalanan, pengharaman dan sebagainya, tetapi Umno tidak mati sebab semangat dan perjuangannya tetap ada dan utuh.

    

"Ini tidak boleh dipandang ringan oleh kita semua dan memanglah DAP tahu ini kekuatan kita sebab itu setelah dia berjaya memastikan PAS menolak kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno, dia sekarang ini nak pecahkan lagi 'divide and rule' seperti mana yang dibuat dalam pemilihan jawatankuasa masjid di Pulau Pinang," katanya.

- Bernama

ADS