Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata perubahan kepada kategori kaum dalam pendaftaran anak tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ia perlu melibatkan pindaan undang-undang.

NONE Perkara itu juga perlu dikaji oleh pakar sebelum pindaan berkenaan dapat dijalankan, katanya lagi ketika ditanya berhubung tindakan oleh ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh sebelum ini yang cuba mendaftarkan anaknya sebagai 'Anak Malaysia' .

Hannah bagaimanapun gagal berbuat demikian kerana Jabatan Pendaftaran Negara hanya membenarkan beliau mendaftarkan anak perempuannya itu sebagai seorang Cina atau India seperti suaminya Ramachandran Muniandy.

Bercakap dalam satu sidang media di bangunan Parlimen hari ini, Hishammuddin berkata isu berkenaan memerlukan kajian bagi membolehkan pindaan kepada status kaum berkenaan dijalankan mengikut undang-undang.

NONE "Jadi bila timbul perkara seperti ini, kita kena pastikan ia dilakukan secara rasional, bukan sewenang-wenangnya atau dengan pertimbangan lain (terutama) perkara yang berbau kaum dan agama.

"Dan jabatan pendaftaran sentiasa melakukan sesuatu bersandarkan kepada undang-undang sedia ada.

"Saya semak tadi, kalau hendak buat perubahan tadi, perlu pinda undang-undang dan mungkin ada kaitan perlembagaan juga," katanya tanpa menyatakan undang-undang terlibat.

Tambahnya, maklumat terperinci berhubung kajian berkenaan hanya akan didedahkan kemudian kerana ia bukanlah perkara yang boleh diputuskan oleh beliau sendiri.

"Jadi anda bercakap tentang pindaan perlembagaan. Ianya satu proses dan perlukan lebih banyak perincian untuk dikaji... Biarlah pakar yang mengkajinya," katanya lagi.

 

ADS