Anak Najib, Nooryana Najwa bertunang warga Kazakh

Anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor - Nooryana Najwa secara rasmi bertunang dengan seorang pembesar kerajaan , Daniyar Nazarbayev dalam satu majlis di Seri Perdana, Putrajaya malam semalam.    

Nooryana Najwa Najib and Daniyar NazarbayevHanya media rasmi kerajaan dibenarkan membuat liputan. Menurut Bernama majlis pertunangan pasangan itu diserikan dengan kehadiran keluarga serta rakan mereka, selain orang kenamaan dari Malaysia dan luar negara.

Antaranya, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah; Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Hajah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah dan Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah.

Awal bulan ini, lawatan Najib serta keluarganya ke Kazakhstan menjadi isu hangat apabila ahli parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad membidas perdana menteri kerana didakwa menggunakan dana awam bagi merisik perkahwinan anak perempuannya.

NONE"Tindakan Najib ini tidak ada kelas langsung iaitu menggunakan wang kerajaan dan rakyat untuk urusan peribadi,” kata pemimpin PAS itu.

Sebaliknya, Wisma Putra menafikan laporan itu dan menegaskan bahawa lawatan itu adalah untuk memenuhi penerimaan perdana menteri terhadap undangan yang telah lama dibuat oleh Presiden Kazakh Nursultan Nazarbayev untuk melawat negara itu.

Lawatan itu, juga dikatakan kebetulan diadakan serentak dengan penganjuran Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-7 di Astana dari 7 hingga 9 Jun lalu.

Jemputan khas sahaja

Majlis tertutup malam semalam itu hanya dihadiri oleh jemputan khas terpilih sahaja termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri; Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi, menteri kabinet, timbalan menteri serta pegawai kanan kerajaan pusat dan negeri.

Hadir sama ibu Najib, Tun Hajah Rahah Tan Sri Mohamad Noah.

Kenamaan asing yang turut dijemput termasuk Putera Mahkota Abu Dhabi Jeneral Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan dan isteri Sheikha Salam binti Hamdan Al Nahyan, serta Pengerusi Medina Council Putera Saud bin Abdulaziz Al-Saud.

Nooryana Najwa, 22, merupakan lulusan School of Foreign Service, Universiti Georgetown, Amerika Syarikat sementara Daniyar, 22, menamatkan pengajian di Universiti Columbia, New York.

Pasangan itu bertemu ketika menuntut di Amerika Syarikat.

pakatan pc on spr ban pondok panas 280409 dzulkefly ahmadDzulkefly Ahmad juga pernah membidas Najib dan keluarganya kerana semasa anak gadisnya itu menerima ijazah di Universiti Georgetown, Washington, Amerika mereka sekeluarga dikatakan ke negara itu juga dengan program rasmi kerajaan.

"Saya bimbang ia menjadi rujukan pemimpin bawahan beliau sebagaimana bidalan Melayu, bapa kencing berdiri anak kencing berlari," katanya.

Menurut pemimpin PAS itu, tidak menjadi kesalahan bagi perdana menteri mengendalikan urusan peribadinya seperti merisik perkahwinan anaknya di Kazakhstan tetapi Najib sepatutnya mengambil cuti rasmi dan tidak membelanjakan dana awam.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.