Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kartun yang bertajuk ‘Kekeliruan kes rogol’ yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 15 Jun 2011 itu, dianggap banyak pihak sebagai menghina dan mempersenda Islam dan hukum hakamnya.

Namun, jika diamati perkara atau subjek yang dipersenda oleh kartun itu, timbul satu persoalan, benarkah kartun itu menghina Islam?

Subjek yang menjadi bahan persendaan kartun itu ialah ‘kemestian  mangsa rogol mengemukakan empat saksi semasa membuat aduan bahawa seseorang merogolnya’. Kegagalan berbuat demikian, akan mengakibatkan aduannya tidak diterima walaupun disertakan bukti berbentuk rakaman.

Inilah subjek yang menjadi bahan persendaan kartun itu. Fokuskan pemikiran kepada subjek ini.

Persoalannya, benarkah ‘kemestian mangsa rogol mengemukakan empat saksi semasa membuat aduan seseorang merogolnya’, adalah hukum Islam yang diturunkan Allah, seperti yang didakwa banyak pihak, sehingga orang yang mempersendakannya dianggap menghina Islam dan hukum hakamnya?

Hadis Nabi SAW berhubung perkara yang dipersenda oleh kartun itu, sangat jelas. Imam Tirmizi telah merekodkan di dalam Sunannya, satu hadis berkenaan satu kes rogol yang pernah berlaku pada zaman Nabi.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Alqamah bin Wail al-Kindi daripada ayahnya itu, diceritakan kisah seorang wanita dirogol semasa beliau dalam perjalanan menuju ke masjid untuk menunaikan solat.

Wanita yang dirogol secara bersendirian itu telah bertindak memaklumkan kepada orang ramai yang ditemuinya bahawa seseorang telah merogolnya.

Bertindak di atas perkhabaran wanita malang itu, orang ramai telah berjaya menangkap suspek dan menyerahkannya kepada Nabi, setelah disahkan oleh mangsa sendiri bahawa suspek itulah orang yang telah merogolnya.

Hukuman rejam

Perbicaraan yang dilakukan oleh Nabi akhirnya memutuskan bahawa suspek dikenakan hukuman rejam, kerana telah disabitkan merogol mangsa (akan dinyatakan selepas ini bahawa menurut pandangan yang kuat, beliau tidak direjam).

Namun, sebelum hukuman dilaksanakan, bangun seorang lelaki lain membuat pengakuan bahawa beliaulah sebenarnya yang merogol mangsa, bukannya suspek tadi yang telah disahkan sendiri oleh mangsa.

Hukuman akhirnya dijatuhkan ke atas lelaki yang mengaku merogol mangsa, manakala suspek dan mangsa rogol yang telah tersilap menuduhnya (suspek) merogol, dibebaskan.

Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa Nabi melayani dan menerima aduan mangsa, menyiasat kebenarannya dan seterusnya menjatuhkan hukuman, meskipun aduan mangsa yang mendakwa dirinya dirogol seseorang, dilakukan tanpa mengemukakan empat saksi.

Adalah jelas, Nabi tidak terus mensabitkan kesalahan qazaf ke atas wanita itu disebabkan beliau mengadu seseorang merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dalam Sunannya dalam Kitab al-Hudud, bab Ma Ja’a Fi al-Mar’ah Iza Ustukrihat ‘Ala al-Zina (Bab berkenaan wanita yang dipaksa berzina), hadis bernombor 1454.

Terjemahan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Alqamah bin Wa’il al-Kindi daripada ayahnya itu, seperti berikut :

“Sesungguhnya [terdapat] seorang wanita telah keluar [dari rumahnya] pada zaman Nabi s.a.w [kerana] mahu [mengerjakan] solat [di masjid]. Lalu seorang lelaki menemuinya [di tengah jalan] lantas menindih dan merogolnya serta melempiaskan hajat [nafsu] nya.

Lantas wanita tersebut bertempik lalu perogolnya melarikan diri. [Selepas itu] seorang lelaki menemui wanita tersebut, lalu beliau berkata, “sesungguhnya lelaki itu telah melakukan ke atas ku [perkara] demikian [yakni merogolnya]”.

Kemudian wanita itu bertemu pula sekumpulan orang-orang Muhajirin lantas berkata,“sesungguhnya lelaki itu telah melakukan ke atasku [perkara] demikian [yakni merogolnya].

Memperkosanya

Lalu mereka terus beredar dan menangkap lelaki yang disangka oleh wanita itu bahawa dia yang telah memperkosanya, lantas mereka membawanya kepada wanita itu seraya dia berkata, “ya, dialah orangnya [yang telah merogolku]”.

Mereka terus membawa lelaki tadi kepada Rasulullah s.a.w. Tatkala Baginda s.a.w memerintahkan supaya lelaki itu direjam, bangun seorang lelaki yang [sebenarnya] telah merogol wanita itu sambil berkata, “wahai Rasulullah, akulah orangnya [yang merogol wanita itu].

Lantas Baginda bersabda kepada wanita itu, “Pergilah, sesungguhnya Allah telah mengampunkanmu”. Baginda [seterusnya] berkata kepada lelaki [yang didakwa oleh wanita itu sebagai orang yang merogolnya] dengan kata-kata yang baik.

Seterusnya Baginda bersabda kepada lelaki yang [mengaku] merogolnya, “rejamlah dia” sambil bersabda, “sesungguhnya dia telah bertaubat [kepada Allah] dengan taubat yang jika seluruh penduduk Madinah bertaubat seperti itu, nescaya diterima [Allah] daripada mereka [taubat itu]”.

Berkenaan kedudukan hadis ini, Imam Tirmizi berkata, “[hadis] ini hasan gharib sahih” (Sunan Tirmizi, jil.6, hlm.35).         

Menurut al-Albani, hadis ini adalah hadis sahih dalam kategori hasan (baik) kecuali sabda Baginda s.a.w yang berbunyi, “rejamlah dia”.

Menurut al-Albani, berdasarkan pendapat yang kuat, lelaki yang mengaku merogol itu tidak direjam (Lihat al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, jil.4, hlm.56).

Ringkasnya, hadis ini adalah hadis yang sahih yang boleh dijadikan hujjah.

Hukum Islam

Hadis ini mengandungi mesej yang jelas dan tegas, bahawa ‘fatwa’ banyak pihak yang mengatakan, ‘mangsa rogol mesti mengemukakan empat saksi ketika membuat aduan dirinya dirogol seseorang’, adalah ‘fatwa’ yang jelas bertentangan dengan hukum Islam.

Dalam erti kata lain, ‘fatwa’ itu bukan merupakan hukum Islam. Ia sebaliknya tanggapan atau kefahaman salah manusia tentang hukum Islam berkaitan aduan kes rogol oleh mangsa.

Ini point utama tulisan ini.

Mesej yang sama terkandung dalam kenyataan salah seorang ulama zaman silam, iaitu Imam al-Baji, seorang ulama bermazhab Maliki.

Dalam sebuah karyanya, Imam al-Baji mengatakan dengan jelas, mangsa rogol yang melaporkan dirinya dirogol oleh seseorang, tidak dikenakan hukuman qazaf meskipun laporan itu tidak disokong oleh empat saksi. Tapi dengan syarat mangsa membawa bukti-bukti lain yang berwibawa, yang menunjukkan berlakunya kes rogol.

Bukti-bukti yang boleh digunakan itu-seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Baji-tidak sukar untuk diperolehi.

Ia seperti, mangsa datang melapor kes rogol sambil berpaut pada tertuduh dalam keadaan kemaluannya berdarah jika dia seorang gadis; mangsa didengari berteriak meminta tolong; atau tertuduh dilihat membawa masuk mangsa ke dalam rumahnya (tertuduh) secara paksa.

Terjemahan kenyataan Imam al-Baji ini seperti berikut  (Lihat al-Ba-ji, Sulaiman Ibn Khalaf (1999), al-Muntaqa- Syarh Muwatta’ Ma-lik, Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, jld 4, hlm. 21) :

“Jika kedua-dua orang [saksi] tidak melihatnya (iaitu wanita yang mendakwa dirogol) dipaksa [melakukan persetubuhan] dan [tidak juga menyatakan] kemungkinan dia dipaksa [melakukan persetubuhan], tetapi dia datang [kepada pihak berkuasa] sambil berpaut padanya (iaitu pada tertuduh) dalam keadaan [kemaluan] nya berdarah  jika dia [seorang] gadis, atau [datang sambil berpaut pada tertuduh dalam keadaan] tidak berdarah jika dia seorang janda…maka dalam kitab Ibn al-Mawa-z [yang memetik] daripada Abdul Malik dan [ulama-ulama] selainnya, [dinyatakan bahawa] “dia (iaitu mangsa) tidak dikenakan [hukuman] hudud (iaitu qazaf atau hukuman zina) disebabkan tuduhannya ke atasnya (iaitu tertuduh)”.

Empat saksi

Berdasarkan hadis Imam Tirmizi yang dinyatakan serta kenyataan Imam al-Baji ini, boleh ditegaskan bahawa ‘kemestian mangsa rogol mengemukakan empat saksi ketika membuat aduan dirinya rogol seseorang’, bukanlah hukum Islam.

Ia sebaliknya tanggapan salah manusia tentang hukum Islam berkaitan aduan kes rogol oleh mangsa.

Justeru, seseorang yang mempersenda sesuatu yang bukan hukum Islam, tidak wajar dituduh menghina Islam atau mempertikai sistem perundangan Islam.

Apatah lagi bila pelukis kartun itu sendiri tidak beranggapan bahawa ‘kemestian mangsa rogol mengemukakan empat saksi ketika membuat aduan rogol’, adalah merupakan hukum Islam.

Buktinya, perkara itu dipersendakannya di bawah tajuk ‘kekeliruan kes rogol’. Maksudnya, pelukis menganggapnya sebagai satu kekeliruan, bukan hukum Islam sebenar.

Kesimpulannya, sebenarnya tiada apa-apa isu berkaitan kartun itu. Ini kerana ia tidak mempersenda hukum Islam. Ia hanya mempersenda tanggapan dan kefahaman manusia-yang telah terbukti salah-tentang hukum Islam.

Bahkan, boleh diterima jika dikatakan bahawa semua pihak wajar ‘berterima kasih’ kepada pelukis dan penyiar kartun itu kerana telah memberi sumbangan dalam mengikis kefahaman salah masyarakat berhubung hukum Islam.

Justeru, penyiaran kartun itu tidak memerlukan apa-apa tindakan mahupun kecaman dan kutukan daripada mana-mana pihak. Pelukis dan penyiarnya juga tidak perlu memohon maaf di atas kesalahan menghina hukum Islam kerana mereka sebenarnya tidak menghina Islam.

Isu sebenar

Isu sebenar yang lebih besar dan sangat serius ialah isu lain. Iaitu ‘mendakwa sesuatu yang bukan hukum Allah, sebagai hukum Allah’. Inilah isu sebenar dan sangat serius!

Dalam reaksi banyak pihak, kartun yang mempersenda ‘kemestian membawa  empat saksi dalam aduan kes rogol oleh mangsa’, disifatkan sebagai menghina hukum Allah. Kartun itu disifatkan demikian, tidak lain dan tidak bukan kerana mereka beranggapan apa yang dipersendakan itu adalah hukum Allah.

Dalam bahasa lebih mudah, mereka mengatakan ‘kemestian membawa  empat saksi dalam aduan kes rogol oleh mangsa’, adalah hukum Islam. Ada yang mengatakan sedemikian secara terang-terangan dan terbuka.

Sedangkan, sebenarnya ia bukanlah hukum Allah, seperti yang difahami daripada hadis yang dinyatakan dan kenyataan Imam al-Baji.

Inilah isu yang sebenarnya, iaitu mendakwa sesuatu yang bukan hukum Allah sebagai hukum Allah.

Bagi orang yang mengetahui dan hatinya takutkan Allah, mereka sedia maklum bahawa dakwaan seperti ini adalah dakwaan yang sangat berat. Dan tentunya mereka tahu apa yang sepatutnya mereka lakukan setelah menyedari dakwaan mereka itu salah.

Tulisan ini tidaklah bermaksud membela mana-mana pihak. Tapi, bak kata Imam al-Qaradhawi, ‘kita adalah tawanan dalil’. Bermaksud, kita menurut dan berpihak kepada ‘arahan’ dalil dalam semua keadaan, meskipun ketika berhadapan dengan musuh atau pihak yang kita benci.


Penulis merupakan lulusan pengajian Islam dari Universiti Mu’tah, Jordan dan ulasan ini adalah pendapat perbadinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian editorial Malaysiakini

 

 

ADS