Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Deposit haram: Dr Hamimah diarah bela diri
Diterbitkan:  Jun 21, 2011 6:51 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Dr Hamimah Idruss, individu pertama yang menghadapi lapan pertuduhan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram 2001, membela diri terhadap pertuduhan membabitkan RM41.3 juta.

Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu terhadap Hamimah selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mustaqim Sukarno berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Kes itu mula dibicarakan pada 12 Julai 2005. Seramai 54 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk dua saksi dari Jerman dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Drs Suleiman Mohamed.

Terdahulu, mahkamah hampir menangguhkan sekali lagi selepas dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa peguam S Pushpam yang mewakili tertuduh meninggal dunia pada 24 Mei lalu kerana masalah kesihatan.

Ketika ditanya kepada tertuduh oleh hakim apa yang hendak diperkatakan, beliau menjawab: "Banyak kali kes ini ditangguhkan tuan, saya tidak mahu ditangguhkan...sudah tujuh tahun."

Sebelum ini, kes itu ditangguhkan tiga kali sejak 31 Mac lalu kerana peguam itu tidak sihat sebelum dimasukkan ke Pusat Perubatan Kinta, Perak sejak 18 April lalu selepas mengalami kekurangan air dalam badan yang melampau dan kepenatan serta beberapa komplikasi lain sehingga terpaksa menjalani pembedahan.

Mahkamah membenarkan kes disebut semula Khamis ini bagi tertuduh melantik peguam baru.

Hamimah menghadapi lapan pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM41.33 juta antara 3 Jun hingga 10 Jun 2003.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun.

Dia turut menghadapi 10 tuduhan bersubahat dengan pekerjanya, Yusaini Wan Abi Sabian, 41, memalsukan surat perjanjian Safire Pharmaceuticals (M) Sdn Bhd, yang setiap satunya bernilai AS$1.2 juta (RM4.56 juta).

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 468 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

- Bernama

ADS