Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rais: 'Kita tak takut hadapi ancaman godam'
Diterbitkan:  Jun 22, 2011 9:20 AM
Dikemaskini: 3:18 AM

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim mengarahkan pihak-pihak yang berkaitan supaya bersedia dengan "benteng dan perisai" bagi menghadapi ancaman pihak tertentu yang mahu menyerang laman web Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 4 Julai ini.

NONE Beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) dan Cybersecurity supaya tidak memandang ringan terhadap ancaman tersebut.

"Kita tidak takut untuk menghadapinya (ancaman itu) kerana kita telah bersedia. Saya meminta SKMM tidak mengambil ringan tentang perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pavilion Malaysia pada konvensyen CommunicAsia 2011 di Marina Bay Sands Convention Center di Singapura.

Dengan "lapisan dan perisai" yang telah diwujudkan oleh pakar-pakar teknikal kerajaan, adalah tidak mudah untuk menembusi laman-laman web kerajaan walaupun ada di antaranya menjadi mangsa kepada pengodam itu.

NONE Ditanya sama ada beliau melihat serangan pengodam terhadap laman-laman web milik kerajaan Malaysia itu mempunyai agenda tertentu, Rais mengesyaki ia mempunyai tujuan tertentu dan tidak hanya "main-main."

Serangan pengodam yang sehingga kini telah menjejaskan kira-kira 200 laman web di Malaysia, katanya, bertujuan jahat dan tidak berperikemanusiaan tetapi kerajaan tidak gentar untuk menghadapinya.

"Saya ada syak-wasangka ini bukan setakat main-main. Ini ada tujuan pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan imej sesuatu pihak, berkemungkinan pihak kerajaan dan pihak-pihak yang lain," katanya.

NONE Tindakan pengodam terbabit, kata beliau, bukan sahaja merendahkan kepentingan kerajaan dan pemimpin-pemimpin, tetapi ia juga turut menjejaskan kepentingan rakyat.

"Mereka (pengodam) itu tidak sedar, ia (tindakan mereka) telah meranapkan, menjatuhkan kepentingan rakyat," katanya sambil meminta supaya rakyat bangkit menentang kegiatan pengodam itu.

- Bernama

ADS