Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) berhubung seruannya kepada masyarakat Cina supaya menyediakan stok makanan bagi menghadapi perhimpunan BERSIH 2.0.

Laporan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip di ibu pejabat polis Dang Wangi pada jam 12.24 pagi ini.

NONE Beliau turut diiringi enam anggota AMK termasuk timbalan ketuanya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Dalam laporan polis itu, Rozan mendakwa Ibrahim telah mengeluarkan kata-kata yang didakwa berbaur hasutan yang berunsurkan keganasan yang ditujukan secara khusus kepada kaum Cina apabila mengarahkan mereka jangan keluar rumah dan perlu menyimpan stok makanan dirumah jika perhimpunan BERSIh tidak dibatalkan.

Kenyataan tersebut dibuat sewaktu pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman Ahad lalu.

NONE "Saya percaya bahawa kata-kata ini berunsur hasutan jenayah yang menjurus kepada keganasan secara khusus ditujukan kepada orang berbangsa Cina yang ingin mengamalkan hak untuk berhimpun secara aman sepertimana yang dijamin di bawah artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, bebas dari sebarang ancaman keganasan dari mana-mana pihak semasa menyertai perhimpunan BERSIH," laporan polis itu dipetik.

Dalam laporan itu, Rozan mendakwa perbuatan Ibrahim adalah satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan.

"Saya dengan ini menuntut agar Ibrahim Ali ditangkap dan didakwa di mahkamah sesegera mungkin," katanya.

NONE Seksyen tersebut merujuk kepada perbuatan, mengedar atau membuat kenyataan yang berbentuk hasutan dan mengajak membuat jenayah.

Sehubungan itu, Rozan meminta polis untuk mengambil tindakan sewajarnya demi kesejahteraan dan keharmonian rakyat Malaysia.

Bagaimanapun semalam Ibrahim berkata kenyataan beliau itu bersifat nasihat dan bukannya satu ugutan.

Dalam sidang media selepas itu, Rozan berkata kenyataan Ibrahim dilihat bertujuan ingin mencari publisiti murahan untuk menjadi wira orang Melayu.

“Kami yakin ini ialah sebenarnya niat jahat dan publisiti murahan Ibrahim Ali supaya beliau terkenal dan segera ditangkap dan menjadi seolah-olah hero Melayu.

NONE "Pada hakikatnya, perkara itu kita tidak mahu, sebaliknya ia satu (perkara) yang memalukan bangsa dan imej orang Melayu,” kata Rozan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Ibrahim mengaitkan kaum Cina dalam ucapannya yang didakwanya boleh menimbulkan perasaan takut di kalangan mereka.

"Kenapa beliau tidak tujukan kepada kaum Melayu, pada hal beliau mewakili NGO Melayu," katanya.

Bagaimanapun, Rozan berkata pihaknya tidak bersetuju penggunaan Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikenakan terhadap Ibrahim.

Ini kerana, katanya, ia bercanggah dengan perjuangan mereka untuk memansuhkan kedua-dua akta tersebut.

                                    

Sehubungan itu, katanya, AMK berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertegas dalam menangani NGO yang mengamalkan perkauman kerana ianya bercanggah dengan perjuangan transformasi 1Malaysia

“Pada hakikatnya (ianya hanya) retorik kalau tiada tindakan segera diambil terhadap Ibrahim Ali,” katanya.

ADS