Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gangguan air kerana Syabas gagal selenggara loji
Diterbitkan:  Jun 23, 2011 9:07 AM
Dikemaskini: 2:07 AM

Gangguan bekalan air yang menjejaskan hampir sejuta pengguna di beberapa daerah di Lembah Kelang bukan kerana bekalan air tidak mencukupi tetapi disebabkan kerja-kerja penyelenggaran loji rawatan air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

NONE Sehubungan itu, exco Selangor, Elizebeth Wong berkata tindakan Syabas menjadikan rundingan penstrukturan semula sebagai alasan gangguan bekalan air berkenaan amat dikesali.

Sebaliknya menurut Wong, gangguan itu adalah kerana kegagalan Syabas untuk menyelenggara loji rawatan tersebut sejak tahun 1997.

"Saya ingin menekan bahawa gangguan ini bukan disebabkan kekurangan bekalan air, tetapi kerja-kerja penyelenggaraan oleh Syabas.

"Kenyataan pihak Syabas (yang) menyalahkan rundingan penstrukturan semula aset air langsung tidak tepat, penswastaan aset air telah dilaksanakan pada tahun 1997 dan sejak itu, Syabas tidak menjalankan kerja- kerja menaiktaraf kepada loji-loji perawatan air yang sepatutnya.

NONE “Pada hari ini pula, perundingan dengan kerajaan negeri senang-senang digunakan sebagai alasan menghalang syarikat swasta tersebut dari menaiktaraf infrastrukturnya. Sepatutnya kerja-kerja ini dibuat sebelum ini.," katanya dalam satu kenyataan akhbar, lewat petang semalam.

Tahap tinggi

Wong juga berkata  simpanan air di empangan sekitar negeri itu masih berada pada tahap yang tinggi.

Beliau membekalkan data Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berhubung kedudukan tahap simpanan air empangan sehingga 21 Jun lalu bagi membuktikan kata-katanya itu.

  • Empangan Sungai Selangor - 98.81 peratus
  • Empangan Sungai Tinggi - 99.17 peratus  
  • Empangan Sungai Batu - 100 peratus
  • Empangan Klang Gate - 100 peratus
  • Empangan Sungai Semenyih - 100 peratus
  • Empangan Sungai Langat - 100 peratus
  • Empangan Tasik Subang - 96.88 peratus
Wong turut menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan khabar angin yang mendakwa  negeri Selangor akan mengalami krisis air dalam masa terdekat.

“Kerajaan negeri Selangor akan tetap berusaha memastikan bekalan air yang mencukupi kepada semua. Pada tahun ini, kami telah memeriksa dan memastikan semua empangan dalam keadaan yang baik dan cukup untuk membekalkan sumber air kepada semua loji-loji pembersihan air di Selangor.

“Tambahan itu, kerajaan negeri telah membuat persediaan untuk menangani masalah sekiranya jangkaan musim kering atau fenomena El-Nino melanda Malaysia,” katanya.

Berikutan perkembangan itu, Wong mahu Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau (KeTTHA) untuk menilai semula kecekapan dan keupayaan Syabas dalam pengurusan sistem bekalan air kepada penduduk.

Mulai pulih

Sementara itu, Syabas dalam satu kenyataan media berkata pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air di Lembah Klang dijangka akan mula menerima bekalan secara berperingkat mulai awal pagi ini sehingga pulih sepenuhnya pada pukul 8 pagi, Jumaat ini.

azlan Menurut kenyataan itu, kerja-kerja penyelenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) telah berjalan lancar dan siap dua jam setengah lebih awal daripada dijadualkan.

Kerja-kerja penyelenggaraan tersebut dijalankan oleh Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH).

"Oleh kerana kerja-kerja penyelenggaraan ini siap lebih awal, maka pihak Syabas akan mula mengisi kolam-kolam takungan lebih awal dan menjangkakan bekalan air akan dapat disalurkan semula ke dalam sistem," kata Syabas.

Katanya kawasan yang terletak di tanah tinggi dan jauh dijangka paling akhir menerima bekalan air berbanding kawasan yang rendah.

Pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air menerusi lori tangki ataupun mendapatkan maklumat lanjut diminta menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPEL jarak aduan dan hantar ke 39222.

Pengguna juga boleh membuat laporan kepada Syabas menerusi laman web Twitter dan Facebook dengan mendaftar di laman web berkenaan.

ADS