Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lelaki dalam video seks adalah “99.99 peratus” Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dakwa peguam yang mewakili bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah (kanan) berkata, pakar video Amerika yang dirujuk polis Malaysia, telah membandingkan imej lelaki dalam video itu dengan sekeping gambar Anwar dan mengesahkan yang kedua-dua adalah seiras.

“Ini bererti A and B adalah orang yang serupa,” katanya kepada wartawan ketika mahkamah berehat.

Menurutnya, mengikut laporan 4 Jun profesor Hany Farid and Lorenzo Torresani dari Dartmouth College di Hanover, New Hampshire, Amerika Syarikat, terdapat keirasan 99.99 peratus lelaki dalam klip video itu, dengan bagi foto Anwar berdasarkan analisis pengenalpastian wajah.

Shafie menunjukkan salinan laporan tersebut kepada wartawan tetapi enggan membenarkan salinan dokumen itu dibuat.

Walaupun Shafie mendakwa pakar-pakar tersebut melaporkan bahawa mereka 99 peratus pasti, tetapi Malaysiakini tidak nampak maklumat tersebut pada dokumen berkenaan.

Dalam fakta kes yang dibaca di mahkamah, mahkamah juga mendengar anwar four frame video 030611 bahawa pakar tersebut mengesahkan bahawa video itu tulen tanpa pengubahsuaian dan ianya dirakamkan dengan perakam DVR milik ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah.

Eskay adalah antara Datuk T - tiga individu di sebalik tayangan video seks lelaki mirip ketua pembangkang kepada wartawan tiga bulan lalu - yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Dua lagi ialah bekas bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim dan bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Eskay dan Shuib dituduh mengikut Seksyen 292(a) Kanun Kesiksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 yang berbunyi:

“Bahawa kamu dengan niat bersama, tayang tempat terbuka video lucah, hubungan seks seorang lelaki dan perempuan antara 10.30 pagi hingga 12.30 tengahari pada 21 Mac lalu.”

Sementara itu, tuduhan ke atas Rahim pula berbunyi: “Bahawa kamu telah bersuhabat dengan Eskay dan Shuib untuk menayangkan secara terbuka hubung seks seorang lelaki dan perempuan, kamu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 292(a), dan Seksyen 109 Kanun Kesiksaan.”

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik Seri Makmur Hotel Carcosa Seri Negara di Kuala Lumpur antara 10 pagi dan 12 tengah hari pada 21 Mac lepas.

Ketiga-tiga mereka mengaku bersalah. Eskay didenda RM3,000 atas kesalahan itu, Shuib RM1,500 dan Rahim sebanyak RM1,000 - menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,500.

Dalam fakta kes itu lagi, pakar berkenaan mendapati, rakaman berkenaan berasal daripada satu alat perakam video yang dirampas daripada Shazryl Eskay.

Pakar berkenaan seterusnya menjalankan analisis pengenalpastian wajah terhadap pelaku seks lelaki berkenaan dan hasilnya didapati menyerupai Anwar.

Anwar juga didapati hadir di sebuah pangsapuri di Ampang, Kuala Lumpur yang menjadi lokasi rakaman video seks tersebut.

Polis telah mendapati kehadiran Anwar bersama salah seorang tertuduh -- Datuk Shazryl Eskay Abdullah -- di apartmen berkenaan pada 21 Februari lalu.

Perkara itu adalah berdasarkan rakaman litar tertutup yang diperolehi polis di apartmen berkenaan.

Berikut adalah fakta kes pendakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur:

       

1. Dato’ Shazryl Eskay bin Abdullah,

2. Tan Sri A Rahim Tamby Chik

3. Dato’ Shuaib Lazim.

Fakta kes

1.  Pada akhir bulan Februari 2011, Dato’ Shazryl Eskay bin Abdullah (selepas dirujuk sebagai “Dato’ Eskay”) telah pergi berjumpa dengan Dato’ Shuaib bin Lazim (selepas ini dirujuk sebagai “Dato’ Shuaib”) di Taman Sri Ukay, Ampang, Selangor berkenaan satu peranti storan media USB (pendrive) yang mengandungi rakaman hubungan seks di antara seorang lelaki yang dipercayai Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim (selepas ini dirujuk sebagai “Dato’ Seri Anwar”) dengan seorang perempuan warganegara China.

2.  Dato’ Shazryl dan Dato’ Shuaib telah berbincang sesama sendiri dan telah bersetuju untuk berjumpa dengan Tan Sri A Rahim bin Tamby Chik (selepas ini dirujuk sebagai “Tan Sri A Rahim”) berkenaan kandungan peranti tersebut memandangkan ianya sensitif dan melibatkan kepentingan negara.

3.  Dato’ Shazryl dan Dato’ Shuaib telah berjumpa dengan Tan Sri A Rahim di Wisma UOA, Jalan Pinang, Kuala Lumpur berkenaan kandungan peranti tersebut. Setelah berbincang, mereka bertiga membuat keputusan untuk menayangkan rakaman video yang terkandung dalam peranti tersebut dan memutuskan untuk memanggil wartawan bagi menyaksikan rakaman video tersebut.

4.  Dalam perbincangan tersebut, Tan Sri A Rahim mencadangkan tayangan rakaman video berkenaan dibuat di Hotel Carcosa Seri Negara dan menjemput beberapa wartawan untuk menyaksikannya. Perkara ini dipersetujui oleh Dato’ Shazryl dan Dato’ Shuaib.

5.  Pada 19 Mac 20011, Tan Sri A Rahim telah menghubungi seorang bernama Haji Kamarulail bin Sulaiman dan  meminta beliau menempah sebuah bilik di Hotel Carcosa Seri Negara.

6.  Pada 20 Mac 2011, Haji Kamarulail telah pergi ke Hotel Carcosa Seri Negara di Jalan Mahameru, Kuala Lumpur dan telah menempah bilik Seri Makmur di atas nama Tan Sri A Rahim bermula daripada hari tersebut sehingga 21 Mac 2011 (Isnin).

7.  Pada 20 Mac 2011, Dato’ Shazryl telah meminta ketua wartawan The Star, Sirajinisa bt Habibu Mohd untuk menyebarkan kepada wartawan media supaya hadir di Hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac 2011 mengenai satu cerita yang besar demi kepentingan negara.

8.  Sirajinisa telah menyebarkan jemputan ini kepada beberapa wartawan dan wartawan-wartawan tersebut pula turut membuat sebaran yang sama pada wartawan-wartawan lain.

9.  Pada 21 Mac 2011, ramai penyunting akhbar dan wartawan telah tiba di Hotel Carcosa Seri Negara seawal jam 9.00 pagi. Dato’ Shazryl telah meminta Dato’ Shuaib supaya menapis wartawan-wartawan yang hadir sebelum dibenarkan masuk Bilik Seri Makmur, Hotel Carcosa Seri Negara bagi menyaksikan tayangan video tersebut.

10.  Pada jam 10.00 pagi, penayangan rakaman video yang mengandungi adegan aksi lucah ini kemundiannya dilakukan oleh Dato’ Shazryl menggunakan sebuah LCD CPU jenama Lenovo kepunyaan Dato’ Shazryl. Semasa tayangan rakaman video dijalankan, Dato’ Shazryl juga telah memberi penerangan mengenai rakaman video tersebut. Dato’ Shazryl juga telah menerangkan bahawa gambar beliau turut terakam sebelum rakaman hubungan seks di antara seorang lelaki yang dipercayai Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dengan seorang perempuan warganegara China. Dato’ Shuaib juga hadir pada sepanjang masa penayangan di bilik Seri Makmur Hotel Carcosa Seri Negara. Penayangan video tersebut dilakukan secara berulang dan pada setiap tayangan hanya beberapa orang wartawan sahaja yang dibenarkan untuk menontonnya.

11.  Tayangan ini mengambil masa di antara 20 hingga 25 minit. Secara keseluruhannya, seramai 13 wartawan telah menyaksikan tayangan rakaman video tersebut dan tayangan terakhir tamat lebih kurang jam 12.00 tengahari.

12.  Pada 22 Mac 2011, Dato Seri Anwar telah membuat laporan polis berhubung penayangan tersebut vide Tun SHL Report 9703/11.

13.  Pada 23 Mac 2011 jam 4.00 petang, satu sidang media telah dilakukan oleh Dato’ Shazryl dan Tan Sri A Rahim di Hotel Impiana KLCC Kuala Lumpur. Dalam sidang media tersebut, Dato’ Shazryl dan Tan Sri A Rahim mengaku mereka bersama Dato Shuaib bertanggungjawab menayangkan rakaman video tersebut kepada wartawan terpilih di Hotel Carcosa Negara pada 21 Mac 2011.

14.  Pada 24 Mac 2011 jam 5.00 petang, Dato Shazryl dan Tan Sri A Rahim telah datang ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk menyerah diri dan memberi kerjasama dalam siasatan yang dijalankan. Dato’ Shazryl telah menyerahkan peranti yang mengandungi rakaman hubungan seks di antara seorang lelaki yang dipercayai sebagai Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dengan seorang perempuan warganegara China.

15.  Pada 25 Mac 2011, Dato’ Shuaib telah datang ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk menyerah diri dan memberi kerjasama dalam siasatan yang dijalankan.

16.  Keterangan mendapat rakaman tersebut diambil dalam sebuah bilik apartment di  .... [dipadam] Ampang  .... [dipadam] Kuala Lumpur.

17.  Pihak polis telah mendapatkan rakaman CCTV di apartment tersebut dan telah mendapati kehadiran Dato’ Seri Anwar bersama Dato’ Shazryl di lobi apartment tersebut pada 21 Februari 2011.

18.  Keterangan menunjukkan rakaman video tersebut mengandungi adegan aksi lucah iaitu perbuatan menghisap kemaluan lelaki oleh seorang wanita dan persetubuhan di antara lelaki dan seorang wanita dalam keadaan kedua-duanya bogel.

19.  Hasil analisa oleh pakar dari Dartmouth College, Handover, New Hampshire, Amerika Syarikat telah mengesahkan rakaman video tersebut adalah tulen iaitu tidak dilakukan sebarang tampering dan superimpose serta berasal daripada satu alat perakan DVR yang dirampas dari Dato’ Shazryl.

20.  Pakar dari Dartmouth College, Handover, New Hampshire, Amerika juga telah menjalankan facial recognition analysis terhadap pelaku seks (lelaki) di dalam rakaman video dan hasilnya mendapati .... [dipadam] adalah menyerupai Dato’ Seri Anwar.

Barang kes:

1.  Tun HSL Report 9703/11

2.  Alat perakan DVR

3.  Satu peranti storan media USB (pendrive) LCD CPU jenama Lenovo

4.  Laporan pakar Dartmouth College, Handover, New Hampshire, Amerika Syarikat.


Laporan tambahan oleh Salhan K Ahmad & Regina Lee.

 

ADS