Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar mendakwa Datuk S Ambiga telah diperalat oleh pemimpin politik dalam BERSIH 2.0 kerana ingin meneruskan perhimpunan pada 9 Julai.

NONE Katanya, ruang untuk mengadakan perbincangan masih terbuka tetapi pengerusi BERSIH 2.0 itu tetap ingin mengadakan perhimpunan bersama pemimpin Pakatan Rakyat.

"Saya rasa Datuk Ambiga dah terikat benar, dia dah tak boleh tarik diri lagi, dia dah diperalatkan.

"BERSIH sekarang bukan BERSIH yang saya kenal dulu. BERSIH sekarang sudah berubah, dah jadi begitu kusut, saya rasa dah tak bersih lagi.

"Kalau perhimpunan NGO dicampur aduk dengan politik - bukan lagi demo BERSIH, ia sudah jadi demo politik," katanya lagi dalam satu program dialog berhubung lapan tuntutan yang dikemukakan BERSIH di Kuala Lumpur hari ini.

Wan Ahmad juga berkata, perhimpunan kali ini, seperti juga perhimpunan pada November 2007, dirancang bagi membolehkan Pakatan Rakyat memperolehi keputusan seperti dalam pilihan raya Mac 2008.

azlan "Kerajaan diramal akan bubar parlimen dan pilihan raya mengejut mungkin diadakan, jadi sejarah dah nak berulang.

"Sekarang dengan penyokong yang lebih kuat mungkin (Pakatan) dapat tawan Putrajaya," katanya lagi.

Tambahnya, polis tidak memberi kebenaran berhimpun memandangkan setiap parti politik ini masing-masing telah bersedia untuk membawa puluhan ribu penyokong pada 9 Julai.

Wan Ahmad juga berkata, BERSIH sebelum ini ingin mengadakan pertemuan tetapi pada masa itu SPR sibuk kerana perlu membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

Tambahnya, tuntutan yang dikemukakan BERSIH juga tidak semestinya dapat diselesaikan sebelum pilihan raya Sarawak.

Katanya lagi, SPR mungkin berpeluang untuk meminda peraturan tertentu sebelum pilihan raya umum ke-13 dijalankan.

 

ADS