Larian Satu Murid Satu Sukan cipta rekod

Seramai 4.1 juta pelajar daripada 9,980 buah sekolah menengah dan sekolah rendah seluruh negara menyertai larian serentak Satu Murid Satu Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan hari ini sekali gus mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori larian pelajar sekolah serentak terbesar.

Larian sempena majlis pelancaran Dasar Satu Murid Satu Sukan itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Padang Dataran Perbandaran di Taiping pagi ini.

Selain penyertaan pelajar, guru dan ibu bapa, larian berkenaan turut berlangsung serentak di 28 buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan 15 buah Kolej Matrikulasi seluruh negara.

Pada majlis pelancaran, timbalan perdana menteri juga selain melepaskan 15,000 peserta daripada 30 buah sekolah menengah dan 20 buah sekolah rendah dari sekitar Taiping menyertai larian itu.

Larian tersebut bermula pada 7.45 pagi dan para peserta seluruh negara berlari sejauh 1.5 kilometer (km) manakala peserta di Taiping berlari pada jarak 1.85 km di sekitar Taman Tasik Taiping.

Penyertaan 4,137,126 peserta itu dicatat dalam Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori larian terbesar dan diisytiharkan sebagai rekod baru oleh Diana Paul dari MBR dalam kategori larian serentak.

Larian serentak terbesar yang direkodkan MBR sebelum ini ialah larian anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2000 dengan penyertaan 2.3 juta peserta.

Turut menyertai Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dalam larian pagi tadi ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Pada ucapan semasa merasmikan program tersebut, Muhyiddin turut menekankan bahawa sukan adalah satu platform dalam pembentukan kemenjadian holistik dan sahsiah murid-murid selain membentuk integrasi nasional.

"Sehubungan itu, bagi menjayakan matlamat dasar 1Murid 1Sukan, kesedaran serta komitmen yang jitu haruslah ditunjukkan oleh kepimpinan sekolah, setiap guru dan kakitangan sekolah," katanya.

Larian berkenaan bertujuan memupuk budaya sukan dalam kalangan murid sekolah serta mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya penyertaan murid dalam aktiviti sukan.

Kementerian sebelum itu mengumumkan hari larian berkenaan boleh dijadikan sebagai hari persekolahan oleh sekolah-sekolah yang mengambil bahagian, kerana selain acara larian itu, sekolah juga hendaklah mengadakan aktiviti pendidikan seperti hari persekolahan biasa.

Dasar 1Murid 1Sukan mewajibkan setiap murid, termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan, untuk mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan yang ditawarkan oleh pihak sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah.

Ia berhasrat untuk membangunkan modal insan melalui penyertaan menyeluruh murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun serta memupuk budaya bersukan agar mereka menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

Dasar 1Murid 1Sukan yang menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Dasar itu yang dilancarkan Mac lalu bertujuan memantapkan pembangunan sukan peringkat sekolah selaras program terdahulu iaitu Sukan Berprestasi Tinggi Sekolah (SPTS), khusus bagi membangunkan atlit sekolah cemerlang yang dilaksanakan sejak Julai 2008.

Sementara itu, pelbagai acara lain turut diadakan sempena majlis itu, antaranya senamrobik, pertandingan sepak raga, futsal, bola jaring, tenis, bola tampar serta acara wall climbing.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.