Polis guna Ordinan Darurat sebagai langkah pencegahan

Tindakan polis menahan beberapa individu di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 kerana
dipercayai terlibat dalam anasir subversif merupakan langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada perkara lebih serius berlaku, kata perdana menteri.
    
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan itu bertujuan bagi memastikan keamanan dan ketenteraman negara dikekalkan.  
    
"Ini sebagai langkah preventif, pencegahan lebih baik daripada berubat, apa-apa polis buat ini sebagai satu langkah pencegahan daripada sesuatu yang lebih serius berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan hari ini.
    
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan enam individu termasuk ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar mengikut Ordinan Darurat yang  pertama kali digunakan terhadap penyokong perhimpunan 9 Julai ini.
    
Najib berkata beliau yakin polis memahami segala implikasi dalam mengambil sebarang tindakan terhadap penyokong perhimpunan itu.
    
"Ada sebahagian daripada rakyat yang mahukan kita (kerajaan) bertindak dengan menggunakan apa juga kuasa yang ada pada kita tetapi saya percaya pihak polis memahami segala implikasi kalau mereka nak mengambil apa-apa tindakan, yang penting sesuatu tindakan itu mendapat sokongan daripada rakyat," katanya.
    
Beliau berkata penganjuran perhimpunan itu mengundang pelbagai eksploitasi oleh pihak-pihak tertentu.     
    
"Ada beberapa elemen bila ada demonstrasi seperti ini, ada orang nak tumpang semangkuk jadi mungkin ada mereka yang berfahaman komunis, ada mereka yang merupakan kaki pengacau, mungkin ada mereka yang suka berhimpun sebab suka pada keadaan yang liar dan keadaan yang boleh menaikkan semangat mereka dan sebagainya," katanya.
    
Perdana menteri berkata kumpulan itu juga cuba menggambarkan kerajaan bersifat autokrasi dan kuku besi serta tidak liberal kerana menolak perbuatan yang mereka ingin lakukan.
    
"Mereka akan menggunakan media antarabangsa untuk menggambarkan secara negatif kerajaan Malaysia... kalau sekiranya mereka boleh buat provokasi pada kita sehinggakan kita terpaksa menggunakan sesuatu yang mereka boleh gambarkan sebagai menggunakan kezaliman terhadap mereka.
    
"Kebebasan untuk berkumpul ada syarat-syarat sebab kita mesti jaga keamanan dan ketenteraman awam. Kalau kita buat terlalu bebas nanti negara kita ini akan menjurus pada keadaan yang huru-hara dan tidak menentu yang tidak menguntungkan sesiapa sama sekali," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.