Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pihak polis diminta menyiasat punca kematian seorang remaja 15 tahun yang dijumpai mati dekat rumahnya di Jasin selepas disaman polis kelmarin.

Senator S Ramakhrisnan daripada DAP mengesyaki kematian M Rajathurai antaranya disebabkan pelajar itu tidak tahu cara menyelesaikan masalahnya.

NONE "Budak itu miskin. Dia keliru tidak tahu apa nak buat. Akhirnya (dia) buat keputusan sendiri dan punca dia gantung diri disebabkan polis kerana dia tidak tahu untuk selesaikan masalahnya," katanya.

Rajathurai dilaporkan disaman polis kerana menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak bertopi keledar.

Ibunya S Chinammah dilaporkan berkata Rajathurai dibawa ke balai berhampiran, kira-kira dua kilometer dari rumah dan saman dikeluarkan kepada anaknya di situ.

Polis: Mati mengejut

Sepanjang perjalanan pulang, ibunya menegur kesalahannya dan Rajathurai kelihatan seperti ketakutan dan hanya diam sehingga sampai di rumah.

Selepas makan nasi dan masuk untuk tidur kira-kira jam 3 petang anaknya ditemui tergantung di siling dalam keadaan sudah tidak bernyawa lagi.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Bercakap dalam sidang media di lobi dewan negara hari ini, Ramakhrisnan berkata keluarga mendiang membuat laporan polis di balai polis Bemban Melaka semalam.

Mengulas saman terhadap Rajathurai, Ramakhrisnan menegaskan polis sepatutnya memaklumkan dulu hasrat mereka itu kepada ibu bapa atau penjaga remaja tingkatan tiga itu.

"Perkara yang membabitkan budak dibawah umur sepatutnya perlu dilibatkan bersama ibu bapa, sebarang apa kesilapan yang dilakukan oleh mereka mesti dengan ibu bapa untuk diselesaikan," katanya.

ADS