Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibu tunggal, 5 anak hanya minum air paip
Diterbitkan:  Jul 6, 2011 4:34 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Ibarat jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib seorang ibu tunggal lima anak sebuah rumah Flat Projek Perumahan Rakyat di Jalan Sungai di sini yang hidup melarat akibat kemiskinan selepas ditinggalkan suaminya sejak enam bulan lepas.

    

G. Rajalakshmi, 31, terpaksa memikul tanggungjawab membesarkan kesemua lima anaknya berusia antara 11 bulan hingga 11 tahun berseorangan, dan keadaan menjadi lebih sukar kerana dia tidak dapat melalukan sebarang pekerjaan kerana menjaga anak-anak yang masih kecil.

    

Sejak suaminya menghilangkan diri, dia hanya mampu menagih simpati jiran untuk meneruskan kehidupan seharian dan mereka sekeluarga terpaksa berlapar jika tiada sebarang makanan.

    

"Saya dan suami baru berpindah ke Pulau Pinang tahun lepas. Sebelum ini, kami sekeluarga tinggal di Johor dan tiada sebarang masalah sehinggalah Maniam keluar bekerja enam bulan lepas dan terus tidak pulang atau menghubungi kami.

    

"Saya terpaksa berhenti kerja di sebuah kedai makan dan menjaga anak-anak. Kami sekeluarga termasuk anak yang berusia 11 bulan hanya minum air paip setiap hari dan hanya makan jika jiran bagi," katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Persatuan Hindu Sangam (PHS) di George Town hari ini.

    

Rajalakshmi berkata dia kini tidak mampu membayar sewa rumah RM100 sebulan dan akan diarahkan keluar tidak lama lagi, malahan sekaranga ini terpaksa hidup dalam gelap kerana gagal membayar bil elektrik.

    

Tiga anaknya M. Daishnavi Sri, 11; M.Shamani Sri, 9; dan M. Vishallini Sri, 8; belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Cina Li Tek, Macallum, Cawangan Pengkalan Weld manakala dua lagi belum bersekolah iaitu M.Kesavan, 5, dan M Bubeneshwary, 11 bulan.

    

Katanya dia mungkin terpaksa memberhentikan persekolahan anak-anaknya kerana tidak mampu membayar tambang bas sekolah yang tertunggak sejak dua bulan lalu.

    

"PHS pernah meminta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi saya tidak layak kerana tidak mempunyai sijil perkahwinan dan saya tidak tahu apa-apa mengenai sijil perkahwinan semasa berkahwin pada tahun 2000 di Johor," katanya.

    

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menziarahi Rajalakshmi di pangsapuri 100, Blok A-16-4, Jalan Sungai atau menghubungi Pengerusi Persatuan Hindu Sangam, P Murugiah di nombor 016-4449246.

    

- Bernama

ADS