Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pakatan Rakyat akan mengerahkan 300,000 ahlinya untuk berhimpun di Stadium Merdeka pada perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Menara G di ibu negara petang ini.

NONE "Kita mengerahkan 300,000 rakyat untuk berhimpun di Stadium Merdeka," katanya pada  sidang media selepas mesyuarat tersebut.

Menurut Anwar, ramai juga ahli Pakatan yang merungut kerana kecewa cadangan awal untuk berarak dipinda oleh BERSIH 2.0 selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara semalam.

Katanya, pihaknya kesal masih ada lagi "gerombolan" yang didakwanya seperti Kementerian Dalam Negeri yang hendak "sabotaj" persefahaman yang telah dicapai antara Seri Paduka dengan gabungan berkenaan.

Selain Anwar, PKR diwakili juga oleh timbalan presidennya, Azmin Ali pada mesyuarat itu.

PAS pula diwakili oleh timbalan presiden Mohammad Sabu dan setiausha agung Datuk Mustafa Ali manakala DAP pula oleh pemimpin veterannya Lim Kit Siang.

Ahad lalu, Seri Paduka bertitah, dalam keghairahan berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, rakyat diminta tidak menjadikan tuntutan demokrasi itu membawa kemusnahan kepada negara.

NONE Tuanku Mizan juga menyeru pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

Seri Paduka tidak mahu melihat negara majmuk ini berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Berikutan kesudian Tuanku Mizan mencemar duli campur tangan Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga selepas diperkenan mengadap Seri Paduka bersetuju memindahkan perhimpunan ke sebuah stadium.

Perhimpunan itu adalah bagi menuntut pembaharuan pilihan rayadi negara ini yang didakwa mempunyai banyak kepincangan tetapi tuntutan pelbagai pihak terus tidak dihiraukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.

 

ADS