Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi risau bila Sosilawati bahasa diri 'Kak Wati'
Diterbitkan:  Jul 7, 2011 11:05 PM
Dikemaskini: 3:06 PM

Seorang sahabat baik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya berasa bimbang dan tidak sedap hati apabila jutawan kosmetik itu membahasakan dirinya sebagai 'Kak Wati' dalam perbualan telefon terakhir mereka pada malam wanita itu dilaporkan hilang dipercayai dibunuh.

Habishah Bahari, 43, berkata beliau berperasaan sedemikian kerana Sosilawati kebiasaannya akan menggelarkan dirinya 'Kak Wati' jika berada dalam keadaan bimbang atau mempunyai masalah.

    

"Saya jadi risau tiba-tiba, berdebar-debar dan tidak sedap hati sebab dia (Sosilawati) guna Kak Wati dengan nada lembut. Kalau (dalam keadaan) biasa Sosilawati bahasakan dirinya 'aku' 'kau', bila dia sebut macam itu (Kak Wati) saya dapat rasa macam ada sesuatu yang menyebabkan dia susah hati," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani pada hari keempat

perbicaraan kes bunuh Sosilawati dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

    

Bekas peguam, N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T.Thilaiyagan, R.Matan dan R.Khatavarayan mengaku tidak bersalah membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.40 malam pada 30 Ogos 2010.

    

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.  

    

Terdahulu, saksi itu kelihatan sebak sehingga terpaksa meminta masa kepada Hakim Datuk Akhtar Tahir untuk menenangkan diri sebelum meneruskan keterangannya.

    

Mengimbas mengenai panggilan telefon itu, Habishah berkata Sosilawati pertama kali menghubungi beliau kira-kira pukul 7.30 malam, 30 Ogos 2010, meminta beliau pergi ke rumahnya (Sosilawati) dan memeriksa sama ada terdapat kamera yang disorokkan di dalam bilik air bilik jutawan kosmetik itu.

"Sosilawati cakap 'Wei, aku tak percaya Kamal (pemandu Sosilawati), dia ambil gambar bogel aku, kau pergi rumah aku, kau masuk dalam bilik, kau pergi ke bilik air kau tengok ada kamera tersorok tak' dan panggilan kemudian terputus," katanya.

    

"Bila terima panggilan itu apa reaksi awak," soal Idham dan Habishah menjawab: "Saya hairan kenapa ada perkataan 'Kamal ambil gambar bogel' sebab Kamal yang saya kenali ialah seorang yang jujur, baik hati, ikhlas, lembut orangnya dan setia dengan perintah bosnya."

    

Saksi ke-16 pendakwaan itu berkata beliau kemudian cuba menghubungi Sosilawati semula sebanyak dua kali dan jutawan kosmetik itu tidak menjawab panggilan tersebut walaupun terdapat deringan.

    

"Kira-kira lima minit kemudian Sosilawati telefon saya semula dan saya tanya dia 'Kak Wati, kau cakap apa ni aku tak faham' dan Sosilawati jawab 'tak apa kau pergi dulu ke bilik aku, masuk dalam bilik air aku cari kamera nanti aku cerita'. Selepas itu Sosilawati tamatkan perbualan," katanya.

Habishah berkata kira-kira 10 minit kemudian, Sosilawati sekali lagi menghubungi beliau dan berkata: "Shah, Kak Wati tak balik tiga hari pergi Genting Highlands".

    

Saksi itu berkata beliau kemudian pergi ke rumah Sosilawati kira-kira pukul 11 malam dan menceritakan kepada anak sulung jutawan kosmetik itu, Erni Dekritawati Yuliana Buhari mengenai tiga panggilan telefon ibunya serta meminta Erni Dekritawati memeriksa sama ada terdapat kamera di dalam bilik air ibunya tetapi tidak menemui apa-apa.

    

"Saya balik rumah saya kira-kira dua jam selepas itu dan kira-kira pukul 1 pagi (31 Ogos 2010) anak Sosilawati bernama Riniee (Erni Rinieelawati) telefon saya memberitahu bahawa dia dan kakaknya (Erni Dekritawati) nak ke Shah Alam tengok kereta Noorhisham," katanya.

    

Ditanya Idham sama ada beliau pernah mendengar nama peguam Pathma, Habishah berkata beliau pernah mendengarnya daripada Sosilawati di mana jutawan kosmetik itu pernah memberitahu beliau bahawa dia ingin berjumpa peguam Pathma untuk menukar tarikh cek.

"Pada 25 Ogos 2010 semasa kami (Habishah dan Sosilawati) pulang dari Johor Sosilawati minta saya temankan dia pergi Banting pada Isnin (30 Ogos 2010) jumpa peguamnya untuk tukar cek dan saya cakap ok. Saya bagaimanapun tidak temankan dia sebab saya sibuk dengan kerja dan Sosilawati juga tidak hubungi saya.

"Kira-kira pukul 5 petang (30 Ogos 2010) saya telefon saya tanya dia (Sosilawati) kat mana dan dia jawab 'aku tunggu kau tak datang pejabat jadi aku pergi dulu, nak cepat' " katanya sambil menambah 25 Ogos 2010 adalah hari terakhir beliau bertemu Sosilawati.

    

Ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dillon yang mewakili Pathmanabhan, Habishah tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa beliau tidak terus pergi ke rumah Sosilawati selepas menerima panggilan telefon daripada jutawan kosmetik itu kerana berpendapat permintaan sahabatnya itu tidak penting.

"Sebagai seorang Muslim saya perlu berbuka puasa, bersolat dan membuat kerja saya dahulu," katanya.

    

"Jadi pada awak mana lebih penting, sahabat atau kerja," soal Manjeet Singh dan Habishah menjawab: "kerja".

    

Menjelaskan mengenai perkara itu ketika ditanya Idham, Habishah berkata beliau tidak terus pergi ke rumah Sosilawati selepas mendapat panggilan telefon daripadanya kerana kebiasaannya anak-anak Sosilawati berbuka puasa di luar apabila ibu mereka tiada di rumah.   

    

Ketika disoal balas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Matan, saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam tersebut bahawa tujuan utama Sosilawati ke Banting bukan untuk menukar cek.

    

Habishah juga tidak tahu mengapa Sosilawati perlu membawa pegawai bank dan peguam ke Banting hanya untuk mempercepatkan tarikh cek sedangkan perkara itu menurut Amer Hamzah boleh dilakukan hanya melalui penggilan telefon.

    

Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama

ADS