Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muslimat PAS desak tubuh s'jaya diraja BERSIH
Diterbitkan:  Jul 13, 2011 12:30 PM
Dikemaskini: 4:31 AM

Muslimat PAS mendesak kerajaan segera menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan salah laku polis dan pemimpin negara, termasuk perdana menteri dalam menangani perhimpunan BERSIH Sabtu lalu.

Ketua penerangan dewan itu Aiman Athirah Al Jundi mendakwa, berlaku juga pencabulan undang-undang serta perlanggaran keluhuran perlembagaan oleh pihak berkuasa.

Beliau turut menamakan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Hishammuddin Hussein, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan timbalannya Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

"Sehubungan dengan itu, Dewan Muslimat mendesak agar jawatan ketua polis negara dan timbalan ketua polis negara digantung sementara waktu bagi memberi laluan penyiasatan yang telus dan tanpa sebarang 'gangguan'," katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Aiman Athirah berharap, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) diberikan kuasa untuk mengambil tindakan kepada pihak yang mencabul jaminan yang termaktub dalam perlembagaan dan diakui Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

"Dewan Muslimat juga mendesak agar SUHAKAM segera mengambil tindakan dan apa jua inisiatif agar hak asasi manusia dalam negara ini terus terjamin," katanya.

"Syor-syor Suhakam yang lebih sesuai untuk realiti semasa dunia adalah sangat diperlukan dalam usaha membantu  semua  pihak khususnya pihak berkuasa itu sendiri agar menghormati hak setiap rakyat yang dijamin kukuh oleh Perlembagaan Persekutuan.

ADS