Jerebu: Satu kawasan catat bacaan IPU tak sihat

Kawasan Jalan Tasek, Ipoh, Perak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan IPU 136 sehingga jam 11 pagi ini.

Selain itu, sebanyak 31 kawasan merekodkan bacaan IPU sederhana sehingga jam 11 pagi tadi berbanding 33 kawasan pada pukul 7 pagi tadi.

Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh, Ipoh di Perak, Seri Manjung dan Kuala Selangor antara kawasan yang mencatat IPU sederhana masing-masing 99, 94 dan 84, selain Balok Baru, Kuantan (74), Pelabuhan Klang (72) dan Petaling Jaya (67).

Rekod itu dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar dalam laman webnya untuk bacaan sehingga pukul 11 pagi.

Pulau Pinang yang dilanda jerebu minggu lalu, dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka di Sumatera, Indonesia, mencatatkan bacaan sederhana iaitu 59 di Seberang Jaya 2 dan 53 di Perai, manakala Universiti Sains Malaysia (USM) mencapai kualiti udara baik (44).

Selain USM, 17 kawasan lagi turut mencapai kualiti udara baik iaitu Sri Aman dan Langkawi (27), Alor Setar (30), Larkin Lama (31), Tawau (32), Sandakan (35), Muar (37), Bandaraya Melaka dan Kangar (38), Pasir Gudang (39), ILP Miri (40), Keningau dan Kota Kinabalu (41), Kota Tinggi (43), Limbang (44), Miri (46) dan Kapit (50).

Bacaan IPU antara 0-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.