Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Staf HKL didakwa guna parkir khas untuk OKU
Diterbitkan:  Jul 14, 2011 6:54 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Seorang warga emas yang juga orang kelainan upaya (OKU) mendakwa tayar keretanya telah dikunci pihak pengurusan parkir Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana meletakkan kereta di kawasan yang salah.

P Palaniappan, 60, seorang pesara mendakwa beliau datang ke hospital terbabit bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan pagi ini.

"Oleh kerana tempat letak kenderaan termasuk OKU telah penuh di hospital, saya terpaksa berlegar-legar bagi mencari tempat letak kereta.

"Saya lihat pada setiap tanda meletak kenderaan OKU dan mendapati hampir separuh daripadanya telah dipenuhi kenderaan staf hospital," dakwa beliau.

"Oleh itu saya terpaksa meletakkan kereta di satu kawasan yang tidak dibenarkan kerana saya tidak mampu berjalan jauh dengan keadaan saya sekarang.

Setelah selesai rawatan, saya dapati tayar telah dikunci dan saya perlu jelaskan bayaran sebanyak RM50," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mendakwa walaupun telah mempamerkan pelekat khas OKU yang telah dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di kereta Perodua Myvinya itu, pihak pengurusan enggan mengalah dan terus mempersalahkannya.

Katanya, penjelasan beliau enggan diterima mereka dan beliau terpaksa membayar bayaran tersebut sebelum keretanya boleh bergerak dan beliau kemudian datang ke Wisma Bernama, membuat aduan.

Palaniappan berkata beliau kehilangan kaki kiri setelah mengalami kecederaan serius semasa bekerja dahulu.

"Kehidupan saya dan dua orang anak kini terpaksa bergantung sepenuhnya melalui bantuan sara diri yang diberi oleh JKM. Sepatutnya kejadian seperti ini tidak patut berlaku apatah lagi di hospital kerajaan," katanya.

Sementara itu, jurucakap hospital, berkata pihaknya kesal dengan apa yang berlaku termasuk tindakan sesetengah pihak yang meletak kenderaan mereka di tempat parkir OKU.

"Pengadu juga sepatutnya memaklumkan kepada polis bantuan atau wakil hospital yang berada berdekatan keretanya supaya pihak pengurusan parkir tidak akan kunci tayar kereta.

"Namun kita akan jalankan siasatan dan perkara ini akan dibawa kepada pihak atasan agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi," katanya.

- Bernama

 

ADS