Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kronologi siasatan kematian TBH
Diterbitkan:  Jul 21, 2011 3:46 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Berikut ialah kronologi kematian Teoh Beng Hock, 30, pegawai khas Exco Kerajaan Selangor dan siasatan yang dijalankan.

    

2009:

    

16 Julai : Mayat Teoh Beng Hock ditemui pada 1.30 tengah hari di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor.

            

22 Julai : Kabinet memutuskan satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret akan dijalankan bagi menentukan punca kematian.

             

22 Julai    : Sebuah suruhanjaya diraja juga diwujudkan dengan terma-terma khusus iaitu meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

24 Julai : Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata inkues kematian akan dijalankan selama 15 hari bermula 29 Julai.

    

29 Julai : Prosiding inkues bermula pada pukul 9.20 pagi di hadapan  Koroner Azmil Muntapha Abas. Inkues yang ditetapkan selama 15 hari itu dijangka mengumpul keterangan daripada 77 saksi termasuk 28 pegawai SPRM, ahli kimia dan ahli patologi serta beberapa teman rapat Teoh.

        

29 Julai : Inkues ditangguhkan sehingga Rabu bagi memberi peluang kepada peguam Gobind Singh Deo, wakil keluarga Teoh, peguam Malik Imtiaz Sarwar bagi pihak kerajaan Selangor, dan wakil Majlis Peguam, meneliti dokumen yang baru diserahkan oleh pihak pendakwaan.

    

5 Ogos : Saksi pertama, pengawal keselamatan Siti Zabedah Yahya memberi keterangan.

19 Ogos : Mahkamah Koroner mengarahkan polis melakukan siasatan lanjut terhadap kandungan sepucuk surat misteri yang mengandungi butiran berkaitan kematian Teoh.

    

27 Oktober : Keluarga Teoh mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Majistret bagi mendapatkan perintah membenarkan mayatnya dikeluarkan dari perkuburan untuk pemeriksaan bedah siasat kedua.

    

2010:

    

4 November : Prosiding inkues menyiasat kematian berakhir.

    

2011:

    

5 Januari : Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Teoh bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga.

    

26 Januari: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan satu suruhanjaya diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen untuk menyiasat punca kematian, dan sama ada terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh.

    

14 Februari : Suruhanjaya memulakan prosiding.

    

10 Mei : Prosiding siasatan berakhir dengan seramai 70 saksi memberi keterangan termasuk majikan Teoh, Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan  Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, dan beberapa pegawai SPRM yang tidak dipanggil ketika inkues di Mahkamah Koroner.

    

22 Jun : Suruhanjaya menyerahkan laporan hasil siasatan itu kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

    

21 Julai : Laporan suruhanjaya setebal 124 muka surat dalam bahasa Inggeris diumumkan.

- Bernama

ADS