Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Pembangkang hanya tahu bantah...
Diterbitkan:  Jul 28, 2011 8:47 PM
Dikemaskini: 1:39 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pihak pembangkang akan sentiasa membantah apa sahaja keputusan yang dibuat kerajaan bagi menambahbaik sistem pilihan raya di negara ini.

    

Katanya apabila kerajaan mahu memperkenalkan penggunaan biometrik bagi mengesahkan pengundi pada pilihan raya, mereka akan mengatakan penggunaan dakwat kekal adalah lebih baik dan beliau percaya jika kerajaan mahu menggunakan dakwat kekal, pembangkang akan mengatakan biometrik lebih baik.

    

"Mereka sekadar mahu membantah apa juga yang kita lakukan. Mereka mahu jadikannya isu kontroversi dan mencari kesalahan. Tiada pendirian konstruktif di pihak mereka. Mereka bukannya mahu mencari sesuatu yang dapat menambahbaik sistem, mereka hanya mahu mencari kelemahan dalam sistem itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Belia 1Malaysia di Mini Stadium Pendang, Kedah hari ini.

    

Beliau berkata kerajaan memutuskan untuk menggunakan sistem biometrik kerana ia merupakan sistem yang saintifik dan tidak boleh dimanipulasi berbanding dengan dakwat kekal.

    

"Bagi dakwat kekal, anda boleh kenal pasti sumbernya...anda boleh dapat daripada sumber-sumber lain dan buat perkara yang sama. Ia satu kerugian kepada rakyat yang tidak dapat pergi (mengundi)," katanya.

    

Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata tindakan pembangkang yang mempertikaikan penggunaan biometrik itu hanyalah bersifat politik.

Katanya beliau tidak sanggup untuk menjadi Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) jika memenangi pilihan raya dengan memanipulasi keputusan pilihan raya.

    

"Rakan-rakan saya juga tak rela jadi pemimpin pusat dan negeri kalau tidak dipilih dengan cara yang betul dan mengikut kehendak rakyat. Kita serah balik kepada rakyat pada masanya...kita serah nasib pada rakyat. Kami hanya rela jadi pemimpin sebab benar-benar dipilih oleh rakyat," katanya.

    

Katanya BN tidak pernah takut kepada pilihan raya yang adil dan jika BN boleh memanipulasi keputusan pilihan raya, BN tidak akan kalah sewaktu pilihan raya.

    

"Selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969, Allahyarham ayahanda saya (Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein) ada kuasa mutlak. Ada kuasa Parlimen dan Kabinet. Hanya beliau seorang sahaja. Beliau ada kuasa eksekutif dan kuasa buat undang-undang tetapi pemimpin BN tidak mabuk kuasa.

    

"Bila keadaan pulih, Allahyarham serah balik kepada rakyat dan buat pilihan raya. Kita menang besar selepas itu tetapi ada masa kita kalah juga," katanya.

Najib berkata BN menerima keputusan pilihan raya yang memihak kepada pembangkang kerana menghormati perlembagaan negara dan kerana itu pembangkang juga perlu hormat perlembagaan.

    

Katanya kumpulan yang menganjurkan perhimpunan haram pada 9 Julai lalu hanya bertujuan mahu memburukkan imej Malaysia di luar negara yang telah menyebabkan satu dunia keliru dan terpesong.

    

"...sedangkan kredibiliti pilihan raya di negara ini tidak pernah dipertikaikan oleh sesiapa dan tidak ada bukti ada penyelewengan," katanya.

    

Lebih 15,000 orang hadir pada majlis hari ini. Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang juga timbalan

pengerusi badan perhubungan Umno Kedah.

- Bernama

ADS