Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polis merakamkan kenyataan Shuhardi Mat Isa yang dilapor didakwa berlakon sebagai Baharudin Ahmad yang meninggal dunia dalam perhimpunan 9 Julai lepas.

Menurut Shuhardi, lima anggota polis, termasuk seorang berpangkat inspektor, daripada ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi mengunjungi rumahnya di Taman Ixora, Bandar Baru Salah Tinggi pada jam 11.30 malam tadi.

"Saya ditanya pelbagai soalan ketika disiasat hampir tiga jam. Saya jawab semua soalan," katanya sambil memberitahu sesi itu hampir tiga jam bermula jam 11 malam hingga 1.30 pagi.

Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata polis menyiasat perkara itu setelah menerima dua laporan di IPD Dang Wangi dan Cheras, bawah seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Laporan mengenainya juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Multimedia iaitu kesalahan yang melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Shuhardi, seorang peserta dalam perhimpunan itu dikatakan dimanipulasi sesetengah pihak dengan mendakwa dia Allahyarham Baharudin yang dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

'Saya memang pengsan'

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Suhardi berkata beliau ditemani anggota keluarga dan tanpa kehadiran peguam ketika sesi itu berjalan.

Ditanya tentang tempoh soal-siasatnya yang lama, Shuhardi menjelaskan, sepanjang sesi itu, beliau ditanyakan secara terperinci tentang penyertaannya daripada mula hingga akhir.

Pada hari itu, katanya, beliau dua kali pengsan sekitar Jalan Pudu, Kuala Lumpur akibat terlalu banyak terhidu gas pemedih mata.

"Bila saya sedar, saya berada di bahagian kecemasan Hospital Tung Shin. Kemudian anggota keluarga saya datang ambil," katanya.

Beliau menafikan berlakon sebagai Baharudin atau cuba menipu orang ramai.

"Saya memang pengsan pada hari itu," katanya yang juga setiausaha agung Persatuan Usahawan, Konsultan dan Pengarah Islam Malaysia (Uruskop).

Shuhardi bagaimanapun tidak jelas beliau disiasat bawah peruntukan dalam seksyen apa.

ADS